Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cef Ismail tukang masak untuk jemaah haji M'sia di Tanah Suci

Berpengalaman lebih 20 tahun, Cef Ismail Hamid adalah antara tukang masak yang akan menyediakan makanan kepada jemaah dan petugas haji Malaysia di Tanah Suci pada musim haji kali ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Cef Ismail tukang masak untuk jemaah haji M'sia di Tanah Suci

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 30 Jun 2019 11:27PM Dikemas Kini : 30 Jun 2019 11:33PM

KUALA LUMPUR: Berpengalaman lebih 20 tahun, Cef Ismail Hamid adalah antara tukang masak yang akan menyediakan makanan kepada jemaah dan petugas haji Malaysia di Tanah Suci pada musim haji kali ini. 

Cef Ismail, 48 tahun, berkata beliau akan dibantu Cef Bakri Ahmad, 41 tahun, dan Cef Yusairi Mustafa, 40 tahun, menyediakan makanan di ibu pejabat Tabung Haji (TH) di Bangunan Abraj Al-Janadriah di Makkah.

Beliau yang terlibat dalam dunia kulinari sejak berusia 23 tahun berkata peluang untuk berkhidmat bersama TH di Tanah Suci disifatkan sebagai satu nikmat yang dinanti-nanti khususnya apabila dapat menyediakan makanan kepada petugas yang menyantuni jemaah haji.

"Masih ingat lagi pada tahun 2008, saya masak untuk jemaah haji ketika kemuncak haji di Arafah dengan menggunakan dapur kayu arang sambil menyarung ihram kerana turut serta menjalankan ibadah wukuf.

"Pengalaman seperti ini tidak ternilai kerana kita ingin memastikan para jemaah dapat makan dan mengalas perut supaya tidak mengganggu ibadah mereka," katanya dalam temu bual yang dikongsikan TH hari ini. 

Cef Ismail berkata tugas dan ibadah dilaksanakan seiring dalam mencari keberkatan.

Penyediaan masakan yang halal dan bersih, katanya, dengan mematuhi peraturan standard operasi pengendalian penyediaan makanan yang ditetapkan oleh TH, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Arab Saudi juga merupakan satu ibadah.

“Saya amat bersyukur kerana dapat bekerja sambil beribadat. Bertugas di Tanah Suci ini adalah impian yang amat saya harapkan dan Alhamdulillah, pada tahun ini, dimakbulkan,” katanya.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dengan kumpulan pertama dijangka tiba di Tanah Suci pada 4 Julai ini, dibantu oleh 640 petugas daripada TH.

Sumber : Bernama/NA/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan