Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cef hasilkan dompet kulit jana pendapatan sampingan tatkala COVID-19

Sejak empat tahun lalu, makanan barat hasil ‘air tangan’ Cef Mohammad Ridhuan Seman di sebuah kafe di bandar Tanah Merah, Kelantan, amat dinantikan pelanggan.

Anggaran Waktu Membaca:
Cef hasilkan dompet kulit jana pendapatan sampingan tatkala COVID-19

Tukang masak di sebuah cafe, Mohammad Ridhuan Seman, menunjukkan beg kulit lembu ciptaannya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Sep 2021 11:53AM Dikemas Kini : 18 Sep 2021 11:54AM

TANAH MERAH: Sejak empat tahun lalu, makanan barat hasil ‘air tangan’ Cef Mohammad Ridhuan Seman di sebuah kafe di bandar Tanah Merah, Kelantan, amat dinantikan pelanggan.

Namun akibat pandemik COVID-19, kafe tempat pemuda berusia 30 tahun itu bekerja turut menerima tempias, menyebabkan pemiliknya membuat sistem penggiliran kerja. Lantaran itu, Encik Mohammad Ridhuan mengambil keputusan menghasilkan dompet kulit lembu sebagai pendapatan sampingan.

Bercakap kepada Bernama, Encik Mohammad Ridhuan berkata selain mencari pendapatan sampingan semasa tempoh sukar ini, minatnya terhadap barangan kulit mendorong beliau untuk memberanikan diri menceburi bidang baru sejak Mac lalu selain daripada kemahirannya di dapur.

“Saya belajar menjahit beg kulit menerusi beberapa kaedah seperti melihat di YouTube, belajar dengan rakan selain memiliki kemahiran asas reka bentuk ketika belajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Pada mulanya, saya buat dompet kulit untuk kegunaan sendiri. Selepas mencuba nasib dengan memuat naik gambar di Facebook, ia mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Tebu, di Tanah Merah, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Encik Mohammad Ridhuan berkata dia memperoleh bekalan kulit lembu sebagai bahan utama produk jahitannya dari Indonesia.

“Saya hasilkan dompet lelaki dan dompet syiling pelbagai saiz. Beg paling kecil berukuran sembilan sentimeter (cm) manakala saiz paling besar 20 sentimeter.

“Setiap satu dompet yang dihasilkan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan bergantung kepada saiz. Sekarang saya mampu menjual lapan hingga 10 dompet sebulan yang dijual pada harga RM45 hingga RM100 (S$15 - S$32) setiap satu,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Keputusan Encik Mohammad Ridhuan nyata berbaloi. Kini, beliau tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

"Pembuatan dompet kulit jahitan tangan kini menjadi pendapatan sampingan saya. Permintaan semakin meningkat, namun bekalan kulit lembu dari Indonesia lambat sampai disebabkan itu saya terpaksa membuat giliran tempahan kepada pelanggan,” katanya mengakhiri bicara.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan