Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

CDC AS kemas kini garis panduan selepas anjing terkena cacar monyet di Perancis

12 hari selepas mengalami simptom, anjing milik dua lelaki yang dijangkiti cacar monyet mula menunjukkan gejala seperti ruam di bahagian perut haiwan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
CDC AS kemas kini garis panduan selepas anjing terkena cacar monyet di Perancis

Gambar mikroskop elektron pada 2003 yang menunjukkan virion cacar monyet yang matang (kiri) dan virion yang belum matang (kanan). (Gambar: AP/CDC/Cynthia S Goldsmith, Russell Regner)

ATLANTA: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengemas kini garis panduan cacar monyet berhubung haiwan peliharaan yang boleh dijangkiti virus tersebut, untuk turut menyertakan anjing.

Anjing dimasukkan ke dalam garis panduan itu selepas jurnal perubatan The Lancet melaporkan kes yang disyaki adalah yang pertama melibatkan penularan cacar monyet dari manusia ke anjing di Perancis.

Menurut artikel yang diterbitkan pada 10 Ogos, dua lelaki "bukan teman eksklusif yang tinggal sebumbung" dijangkiti cacar monyet pada awal bulan Jun.

12 hari selepas mengalami simptom, anjing mereka yang berusia empat tahun mula menunjukkan gejala seperti ruam dan jerawat bernanah pada bahagian perut haiwan tersebut.

Anjing berkenaan sebelum ini tidak mempunyai sebarang penyakit dan hasil ujian menunjukkan anjing dan salah seorang pemiliknya dijangkiti jenis cacar monyet yang sama.

Lelaki dan anjing itu dijangkiti virus cacar monyet yang kian menular di negara-negara bukan endemik sejak April tahun ini dan sudah menjangkiti lebih 1,700 penduduk di Perancis.

Artikel itu turut melaporkan lelaki-lelaki itu sudahpun mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan haiwan tersebut daripada bersentuhan dengan haiwan peliharaan lain atau manusia disebabkan simptom yang dialami.

Di negara-negara di mana cacar monyet disifatkan sebagai endemik, hanya haiwan liar seperti tikus dan monyet ditemui membawa virus cacar monyet, dedah artikel itu.

Para penulis artikel itu berkata hasil dapatan mereka harus "mencetuskan perbahasan" tentang perlunya mengasingkan haiwan peliharaan daripada individu yang diuji positif cacar monyet dan menggesa siasatan lanjut ke atas penularan lanjutan itu melalui haiwan peliharaan.

"TIDAK MUSTAHIL" MANUSIA BOLEH JANGKITI HAIWAN DENGAN VIRUS

Menurut CDC, ia "tidak mustahil" jika individu yang dijangkiti cacar monyet untuk merebakkan virus itu ke haiwan melalui kontak rapat, termasuk memegang, memeluk, mencium, berkongsi tempat tidur dan berkongsi makanan.

Sekiranya haiwan peliharaan itu terdedah kepada virus tersebut, para pemilik tidak harus menyerah kalah, mencabut nyawa melalui eutanasia atau mengabaikan haiwan peliharaan disebabkan "kemungkinan pendedahan atau virus cacar monyet". Mereka yang dijangkiti juga tidak harus memelihara haiwan-haiwan peliharaan yang terdedah.

Menurut CDC, walaupun tidak diketahui semua gejala yang mungkin dialami haiwan yang terjangkit, para pemilik harus berwaspada terhadap tanda-tanda penyakit termasuk kelesuan, kurang selera makan, batuk dan ruam.

Pada bulan Mei, Agensi Keselamatan Kesihatan Britain menasihati kes cacar monyet yang disahkan harus mengelak kontak dengan sebarang haiwan peliharaan selama 21 hari sebagai langkah berjaga-jaga.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan