Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cawangan Starbucks seluruh Amerika tutup kedai sehari, mahu 'didik' kakitangannya

Syarikat Starbucks akan menutup 8,000 kedainya di Amerika Syarikat pada petang 29 Mei ini untuk melatih hampir 175,000 pekerjanya tentang cara mencegah diskriminasi kaum di cawangan-cawangannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Apr 2018 04:49PM Dikemas Kini : 18 Apr 2018 11:41PM

PHILADELPHIA: Syarikat Starbucks akan menutup 8,000 kedainya di Amerika Syarikat pada petang 29 Mei ini untuk melatih hampir 175,000 pekerjanya tentang cara mencegah diskriminasi kaum di cawangan-cawangannya.

Syarikat kopi terbesar dunia itu mengambil langkah tersebut dalam usahanya hendak meredakan ketegangan dan kemarahan orang ramai selepas dua lelaki kulit hitam ditangkap di sebuah kafe Starbucks di Philadelphia minggu lalu.

Dalam insiden tersebut, seorang pekerja Starbucks di cawangan terbabit menelefon polis untuk mengadu tentang dua lelaki berkenaan yang enggan membeli apa-apa dan tidak mahu meninggalkan kafe itu.

Sebuah rakaman video yang diambil seorang pelanggan menunjukkan kedua-dua lelaki itu sedang duduk diam dan berbual buat beberapa minit dengan pegawai-pegawai polis yang dikerahkan ke kedai tersebut.

Polis kemudian menggari dua lelaki itu dan mereka dibawa keluar dari kafe.

Kejadian itu mencetuskan tuduhan adanya amalan diskriminasi kaum di rangkaian kedai Starbucks.

Para penunjuk perasaan menyeru orang ramai supaya memulaukan Starbucks.

Ketua Eksekutif baru Starbucks, Kevin Johnson kemudian muncul meminta maaf di atas kejadian itu.

Tengkarah tersebut merupakan ujian perhubungan awam terbesar yang dihadapi Encik Johnson. Ini sedang beliau berusaha giat untuk menarik lebih ramai pelanggan di tengah-tengah persaingan sengit dari kedai-kedai menjual kopi yang lain serta rangkaian kedai makanan segera. 

Sumber : Reuters/MU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan