Causeway Link siap tangani kebimbangan penumpang akibat mogok pemandu bas JB-SG
Causeway Link, iaitu penyedia utama perkhidmatan bas rentas sempadan di antara Johor Bahru dan Singapura, menyatakan bahawa langkah sedang diambil untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan serta memastikan perkhidmatan pengangkutan penting terus berjalan seperti biasa.
Causeway Link menyatakan bahawa langkah sedang diambil untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan serta memastikan perkhidmatan pengangkutan penting terus berjalan seperti biasa. (Gambar: BERNAMA)
Syarikat itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya mengakui terdapat beberapa pemandu bas yang memilih untuk memulakan tindakan perindustrian dan menegaskan komitmen syarikat itu terhadap komunikasi terbuka serta persekitaran kerja yang saling menghormati untuk semua pekerja.
“Kami memahami peranan penting dimainkan kapten bas kami dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat dan dipercayai kepada masyarakat.
"Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai dan penumpang, bahawa kami sedang berbincang dengan pihak berkaitan bagi menangani situasi ini dan mencapai huraian yang membina,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan Causeway Link itu memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengambil semua langkah yang mungkin untuk mengurangkan sebanyak mungkin gangguan perkhidmatan, terutamanya pada laluan penting.
“Kami amat kesal atas sebarang kesulitan yang timbul kepada penumpang kami dan menghargai kesabaran anda sepanjang tempoh ini,” menurut kenyataan itu.
Syarikat itu dalam kenyataan tersebut berharap menerusi dialog berterusan, penyelesaian yang adil dan bermanfaat akan dapat dicapai untuk semua pihak yang terlibat.
Pada Isnin (21 Jul), satu rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan situasi sesak di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada pukul 5.30 pagi, dipercayai berpunca daripada gangguan perkhidmatan bas menyusuli mogok tersebut.
Media tempatan melaporkan bahawa mogok itu dipercayai disebabkan oleh rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu bas mengenai penyelarasan struktur gaji dan pemotongan elaun, yang didakwa menjejas pendapatan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.