Cathay Pacific sahkan tiada kompromi keselamatan setelah pesawatnya dipintas jet pejuang NATO di Romania
Jabatan Penerbangan Awam Hong Kong (CAD) melahirkan "kebimbangan serius" berhubung satu kejadian baru-baru ini melibatkan sebuah pesawat Cathay Pacific menghala ke London yang dipintas oleh dua jet pejuang NATO dari Hungary setelah ia putus hubungan seketika dengan kawalan trafik udara semasa berada di ruang udara Romania.
Pesawat penumpang Airbus A350 Cathay Pacific tiba dari Hong Kong dan sebuah pesawat penumpang Airbus A350 Asiana Airlines bersedia untuk berlepas ke Seoul di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK di New York pada 7 Feb 2024. (Gambar: AFP/Charly Triballeau)
Dalam respons emel kepada wadah media Hong Kong, Cathay Pacific mengesahkan penerbangan CX257 dari Hong Kong ke London "terputus hubungan untuk seketika' dengan kawalan trafik udara pada 4 Julai.
Ini diikuti dengan "tindakan pemintasan susulan oleh pihak berkuasa selaras dengan protokol yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," menurut syarikat penerbangan itu.
Talian hubungan akhirnya dipulihkan kembali dan pesawat terbabit meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Heathrow di London "seperti dirancang".
"Penerbangan itu mematuhi laluan yang dibenarkan pada setiap masa, dan tiada kompromi dalam keselamatan pesawat atau penumpang yang terjejas," menurut Cathay Pacific.
"Kru penerbangan terjejas melaporkan kejadian itu dengan serta merta dan ia masih disiasat pada ketika ini."
CAD mengesahkan syarikat penerbangan terbabit telah melaporkan kejadian tersebut.
"CAD melahirkan keprihatinan serius berhubung insiden itu dan telah mengambil tindakan susulan dengan syarikat penerbangan tersebut selaras dengan protokol yang ditetapkan," menurut jabatan itu kepada South China Morning Post (SCMP) - sambil menambah ia memohon supaya Cathay Pacific membuat laporan dalam tempoh seminggu.
Mediacorp sudah pun menghubungi Cathay Pacific untuk bertanya sama ada ia telah memfailkan laporan rasmi.
Kejadian itu didedahkan apabila Menteri Pertahanan Hungary Romulusz Ruszin-Szendi berkongsi di Facebook pada 4 Julai bahawa sepasang jet pejuang dikerahkan di bawah amaran tindak balas pantas NATO - setelah "sebuah pesawat A350 yang berdaftar di China, yang mengendalikan penerbangan dari Hong Kong ke London, gagal mengekalkan hubungan dengan kawalan trafik udara awam Romania ketika berada di ruang udara Romania".
Dua jet pejuang berlepas dari pangkalan tentera di bandar Kecskemet, iaitu kira-kira 86 kilometer dari arah tenggara ibu kota Budapest pada 1.51 tengah hari.
Para juruterbang jet pejuang itu "memberikan isyarat visual" kepada pesawat penumpang itu, kata Encik Ruszin-Szendi.
"Susulan itu, pesawat tersebut mewujudkan komunikasi dengan kawalan trafik udara," katanya.
Sistem amaran tindak balas pantas NATO dikekalkan sepanjang tahun bagi memintas sebarang pesawat yang tidak mendapat kebenaran, tidak dikenal pasti, atau berada dalam keadaan kecemasan yang menghampiri ruang udara Eropah.
Kedua-dua Romania dan Hungary adalah anggota NATO, yang terdiri daripada 32 negara anggota, termasuk Britain, Amerika Syarikat dan Kanada.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.