Skip to main content

Dunia

Cathay Pacific naikkan surcaj bahan api mulai 1 Ogos susuli lonjakan harga bahan api jet

Anggaran Waktu Membaca:
Cathay Pacific naikkan surcaj bahan api mulai 1 Ogos susuli lonjakan harga bahan api jet

Sebuah pesawat penumpang Airbus A350 milik Cathay Pacific tiba dari Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK di New York pada 7 Februari 2024. (Gambar fail: AFP/Charly Triballeau)

Diterbitkan : 24 Jul 2026 04:10PM
  • Cathay Pacific Airways mengumumkan kenaikan surcaj bahan api untuk penumpang dan kargo bermula 1 Ogos, selepas beberapa bulan pengurangan harga.
  • Kadar surcaj baharu melibatkan peningkatan ketara untuk penerbangan jarak jauh, ke China, Asia Selatan dan laluan lain dari Hong Kong.
  • Kenaikan ini dibuat kerana harga bahan api jet global melonjak, dipengaruhi ketegangan di Timur Tengah menurut data IATA.
  • Cathay Pacific akan terus menyemak dan mengemas kini surcaj bahan api setiap dua minggu bagi menyesuaikan dengan perubahan harga pasaran.
Dijana oleh AI
HONG KONG: Cathay Pacific Airways pada Jumaat (24 Jul) mengumumkan ia akan menaikkan surcaj bahan api bagi penumpang dan kargo mulai 1 Ogos, sekali gus menarik balik beberapa langkah mengurangkan harga sejak Mei, sedang harga bahan api jet melonjak ekoran ketegangan yang kembali memuncak di Timur Tengah.

Syarikat penerbangan Hong Kong itu menyatakan, penyesuaian tersebut merupakan kenaikan pertama surcaj sejak April. Namun, kadarnya masih lebih rendah berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada bulan itu.

Bagi para penumpang, surcaj bagi penerbangan jarak jauh antara Hong Kong dan destinasi termasuk Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah dan Afrika akan meningkat 41 peratus daripada HK$965 (S$158.88) kepada HK$1,362 (S$224.25) bagi setiap sektor penerbangan.

Bagi penerbangan antara Hong Kong dan tanah besar China, surcaj akan meningkat daripada HK$165 kepada HK$198.

Surcaj bagi penerbangan ke Asia Selatan pula akan meningkat daripada HK$448 kepada HK$633, manakala laluan lain akan menyaksikan kenaikan daripada HK$241 kepada HK$339.

Surcaj bahan api bagi kargo yang berlepas dari Hong Kong akan meningkat kepada HK$10.10 sekilogram bagi destinasi jarak jauh, HK$5.10 sekilogram bagi destinasi jarak sederhana, dan HK$2.80 sekilogram bagi destinasi jarak dekat, berkuat kuasa 1 Ogos.

Syarikat penerbangan itu merujuk kepada data Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang menunjukkan bahawa purata harga global bahan api jet meningkat kepada AS$149.40 setong bagi minggu berakhir 17 Julai, naik ketara daripada AS$127.06 setong pada minggu sebelumnya dan AS$119.13 setong bagi minggu berakhir 3 Julai.

Menurut Cathay, ia akan terus menyemak dan mengemas kini surcaj bahan api setiap dua minggu.
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita