Skip to main content

Dunia

Carrie Lam lawat Masjid Kowloon yang terkena semburan cecair biru

Pemimpin dan ketua polis Hong Kong melawat masjid yang terkena cecair berwarna biru yang disemburkan oleh meriam air bagi meleraikan tunjuk-tunjuk perasaan yang bertukar ganas baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Carrie Lam lawat Masjid Kowloon yang terkena semburan cecair biru

Pemimpin Hong Kong Carrie Lam memohon maaf atas kesilapan pihak polis menyembur Masjid Kowloon dengan tidak sengaja. (Gambar: Ed Jones/AFP)

Diterbitkan : 21 Oct 2019 02:45PM Dikemas Kini : 21 Oct 2019 02:59PM

HONG KONG: Pemimpin dan ketua polis Hong Kong melawat masjid yang terkena cecair berwarna biru yang disemburkan oleh meriam air bagi meleraikan tunjuk-tunjuk perasaan yang bertukar ganas baru-baru ini.

Pintu masuk Masjid Kowloon, yang disembur dengan cecair daripada meriam air semalam (20 Okt), mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Muslim tempatan dan juga para penunjuk perasaan.

Related article image
Kesan cecair biru mencemar Masjid Kowloon. (Gambar: Chan Cheuk Fai/The Initium via AP)

Kesan cecair biru mencemar Masjid Kowloon. (Gambar: Chan Cheuk Fai/The Initium via AP)

Polis menggunakan cecair berwarna biru yang biasanya dicampur dengan bahan iritasi sebagai satu cara untuk mengenal pasti para penunjuk perasaan. Namun, dengan berbuat demikian, ia akan menyebabkan jalan raya dan bangunan kelihatan berwarna biru.

Rakaman video semalam menunjukkan sebuah trak yang berhenti di luar masjid itu di tengah-tengah tunjuk perasaan tersebut sebelum menyembur para wartawan dan sesiapa saja yang berada di situ.

Polis mengeluarkan kenyataan semalam untuk menyatakan bahawa ia tanpa sengaja menyembur masjid tersebut. Sungguhpun demikian, pihak polis tidak akan meminta maaf.

Hari ini (21 Okt), Ketua Pegawai Eksekutif Carrie Lam dan Ketua Polis Stephen Lo melakukan lawatan singkat ke masjid tersebut sambil diiringi para pengawal keselamatan.

20 minit kemudian, mereka keluar dari masjid itu tetapi tidak bercakap dengan pihak media.

Sebaliknya, wakil-wakil masjid memberitahu para wartawan bahawa kedua-duanya memohon maaf atas insiden berkenaan dan pernyataan maaf itu diterima pihak masjid.

Para wakil juga mengucapkan terima kasih kepada para jemaah dan penduduk Hong Kong yang berpusu-pusu datang untuk membersihkan masjid sejurus selepas insiden tersebut.  

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita