Skip to main content

Dunia

Carikan Gaza berdepan keadaan sukar, malapetaka COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

GAZA: Seorang pegawai kesihatan Palestin berkata Carikan Gaza sedang berdepan dengan keadaan 'sukar dan malapetaka' disebabkan penularan pantas COVID-19 varian Omicron, lapor agensi berita Xinhua.

"Keluk jangkitan menunjukkan kes meningkat dengan mendadak dan pada kadar tidak pernah berlaku sebelum ini," kata penasihat kepada Menteri Kesihatan Palestin, Fathi Abdu Warda, pada Jumaat (28 Jan).

Menurutnya 95 pesakit dimasukkan ke hospital dengan 63 dalam keadaan kritikal manakala kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) mencecah 56 peratus.

Justeru, beliau menggesa setiap penduduk yang dijangkiti COVID-19 atau mengalami gejala berkaitan virus itu segera ke hospital.

Beliau menambah sebanyak 48 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital di Carikan Gaza dijangkiti COVID-19 varian Omicron.

Musim sejuk sekarang ini, kata Encik Abu Warda diburukkan lagi dengan kekurangan bekalan elektrik di Carikan Gaza menyebabkan penduduk di situ terpaksa bergelap selama 12 jam sehari. Ini sekali gus menyumbang kepada penularan virus itu.

"Sejauh ini, hanya 30 peratus penduduk di Carikan Gaza sudah divaksinasi," kata Encik Abu Warda sambil menambah kementerian kesihatan menggesa mereka supaya mendapatkan suntikan vaksin.

Palestin mencatatkan lima kematian dan 5,380 kes baru COVID-19 di Tebing Barat dan Carikan Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, mengikut laporan harian COVID-19 kementerian kesihatan.

Sumber : Bernama/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita