Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cara biasa berpolitik perlu diubah, tegas Syed Saddiq

Cara biasa berpolitik dengan sistem sediakala perlu diubah untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan wakil rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
Cara biasa berpolitik perlu diubah, tegas Syed Saddiq

Cara biasa berpolitik dengan sistem sediakala perlu diubah, kata Encik Syed Saddiq. (Gambar: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman/Facebook)

Diterbitkan : 09 Jul 2021 09:15AM Dikemas Kini : 09 Jul 2021 09:24AM

KUALA LUMPUR: Cara biasa berpolitik dengan sistem sediakala perlu diubah untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan wakil rakyat.

Demikian pendapat Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menurut laporan Astro Awani.

Kata beliau, dengan cara itu barulah kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap kepemimpinan negara dapat dikembalikan.

Tambah Encik Syed Saddiq, perlu ada pembaharuan dalam cara berpolitik di Malaysia yang mengimbangkan antara tugas membuat dasar dan tanggungjawab memastikan kelancaran pelaksanaannya di kawasan masing-masing.

“Kita perlu ganggu politik di Malaysia, tidak boleh lagi ada cara kerja biasa atau 'business-as-usual'. Maka sebab itu saya rasa penting untuk kita gabungkan politik dasar dengan politik khidmat untuk menjadi Ahli Parlimen yang berkesan.

“Politik dasar itu adalah tanggungjawab hakiki kita di Parlimen, tetapi sambil kita melaksanakan dasar tersebut, penting untuk kita dekati rakyat supaya kita boleh lihat pelaksanaan dasar,” jelas beliau.

TIDAK SABAR KEMBALI KE PARLIMEN

Oleh sebab itu, beliau tidak sabar untuk kembali ke Parlimen.

Ia bukan untuk berbalah dan merebut kerusi menjadi kerajaan, tetapi untuk membangkitkan isu-isu penting yang perlu diperdebatkan dalam membina dasar baru yang lebih baik untuk negara.

Antaranya termasuk isu yuran mahasiswa universiti yang masih dikenakan pada jumlah sama atau lebih banyak tatkala hari ini semua menjalani kelas secara maya, dasar berkaitan dana politik dan akta antilompat parti yang dilihat mengacau-bilau kestabilan pentadbiran negara.

Syed Saddiq tidak sabar ke Parlimen untuk membangkitkan isu-isu penting. (Gambar: AFP) 

Pada masa yang sama, katanya, tidak dilupakan tugas untuk turun ke kawasan masing-masing bagi melihat sejauh mana rakyat menikmati manfaat atau terkesan daripada dasar-dasar yang dibentuk di Parlimen itu.

ALU-ALUKAN RAKYAT BERI TEKANAN KEPADA AHLI POLITIK

"Hari ini kita telah melihat rakyat bangkit untuk menekan kerajaan supaya bertindak lebih cekap tatkala situasi dan cabaran hidup di waktu pandemik ini telah menghimpit mereka yang berharap kepada sistem pentadbiran untuk membawa mereka keluar daripada kesempitan," kata Encik Syed Saddiq.

Beliau mahu peranan itu terus dimainkan rakyat supaya tidak ada ahli politik terus selesa dan leka di kerusi empuk mereka, lapor Astro Awani.

“Ini menunjukkan bahawa zaman di mana ahli politik boleh bermaharajalela telahpun tamat.

“Tekanan rakyat itu akan menyebabkan berlakunya fastabiqul khairat, iaitu kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan,” ujarnya.

Ahli politik hari ini, katanya, perlu sentiasa bergerak mencari jalan baru untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin, biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk tidak mendapat peruntukan yang cukup.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, tambah beliau, sepertimana dirinya yang melaksanakan pelbagai inisiatif mengumpul dana untuk disalurkan kembali kepada rakyat dalam pelbagai bentuk yang diperlukan.

“Apabila peruntukan untuk pembangkang ditarik, saya tidak menyerah kalah, duduk rumah dan tutup pejabat. Saya bertekad cari jalan lain.

“Saya botakkan kepala, buat tuisyen atas talian di mana lebih 1,000 orang hadir dan setiap seorang bayar RM200 dan banyak lagi. Cari jalan lain yang unik, sedikit luar daripada kotak.”

DASAR PERLU BERLANDASKAN DATA

Berbalik kepada pembentukan dasar, kata Encik Syed Saddiq, ia mesti berlandaskan data dan sains, bukannya sentimen.

Apabila data dan sains yang menjadi teras panduan dalam perangkaan dasar negara, maka kerajaan dan pembangkang akan dapat duduk bersama berbincang dan menentukan langkah terbaik untuk rakyat dan negara.

"Contohnya, saya nak laksanakan saringan besar-besaran di Muar menggunakan peruntukan sendiri tetapi tak boleh, siap dapat surat penolakan, malah doktor yang nak buat juga dapat tentangan dan dikatakan mungkin lesen mereka akan ditarik.

“Saya faham ada beberapa keputusan yang tidak popular tetapi wajar dilakukan. Di sinilah di mana bipartisanship, yakni keputusan bersama, dapat memberikan impak yang terbaik supaya semua parti dapat persetujuan bersama,” jelas beliau kepada Astro Awani. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan