Canberra sertai skim beli balik senjata susuli serangan di Bondi Beach
Bunga diletakkan di persiaran Bondi Beach di Sydney pada 18 Disember 2025 bagi memperingati mangsa serangan yang berlaku empat hari sebelumnya. (Gambar fail: AFP/David Gray)
- Pemerintah Australia di bawah Perdana Menteri Anthony Albanese mengumumkan ACT akan menyertai skim beli balik senjata api selepas serangan maut di Bondi Beach.
- Serangan pada 14 Disember 2025 melibatkan dua lelaki bersenjata yang mendapat inspirasi daripada ISIS dan menggunakan senjata api yang diperoleh secara sah.
- Skim ini bertujuan mengurangkan risiko serangan pengganas dan memperketatkan kawalan senjata, dengan New South Wales menjadi wilayah pertama melaksanakannya pada 2 November.
- ACT mempunyai sekitar 23,000 senjata api dan lebih 7,000 pemegang lesen, namun tarikh pelaksanaan skim di ACT belum diumumkan.
Pemerintah pimpinan Encik Albanese meluluskan undang-undang pada Januari bagi melaksanakan skim beli balik senjata, memperketatkan pemeriksaan bagi lesen senjata api dan membanteras kebencian.
Langkah itu diambil menyusuli serangan bersenjata pada 14 Disember 2025 ketika sambutan Hanukkah di Bondi Beach, Sydney.
New South Wales, wilayah paling ramai penduduk di Australia, menjadi wilayah pertama yang menyertai skim tersebut, yang akan bermula pada 2 November.
ACT kini bersetuju melaksanakan skim serupa dalam usaha memastikan "serangan pengganas anti-Semitik seperti yang kita lihat di Bondi tidak boleh berlaku lagi", kata Encik Albanese.
"Saya berterima kasih kepada pemerintah ACT atas kerjasama mereka sedang kita berusaha mengeluarkan senjata api dari jalanan bagi melindungi rakyat Australia dengan lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, terdapat sekitar 23,000 senjata api dan lebih 7,000 pemegang lesen senjata api di ACT.
Namun, ia tidak menyatakan bila skim beli balik senjata api di ACT akan bermula.
Pejabat Encik Albanese juga tidak segera memberikan butiran lanjut.
SENJATA DIPEROLEH SECARA SAH
Dua lelaki bersenjata yang dituduh melakukan serangan Bondi Beach merupakan seorang bapa dengan anak lelakinya.
Menurut polis, kedua-duanya mendapat inspirasi daripada ISIS dan menggunakan senjata api berkuasa tinggi yang diperolehi secara sah.
Suspek yang terselamat masih belum membuat pengakuan terhadap pelbagai pertuduhan, termasuk 15 tuduhan membunuh.
Australia mempunyai rekod 4.1 juta senjata api pada tahun lalu, menurut pemerintah.
Skim beli balik itu bakal menjadi yang terbesar di Australia sejak kempen serupa dilaksanakan menyusuli serangan di Port Arthur, Tasmania, pada 1996.
Dalam serangan tersebut, seorang lelaki bersenjata membunuh 35 orang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.