Canberra beri amaran berdepan gelombang baru COVID-19
Pihak berkuasa kesihatan Canberra memberi amaran mengenai gelombang baru jangkitan COVID-19 di wilayah itu.
Orang ramai di luar pusat ujian COVID-19 di Canberra, Australia. (Gambar: Jamila Toderas/AFP/Getty Images)
Menteri Kesihatan Ibu Negara Australia (ACT) Rachel Stephen-Smith mendedahkan bahawa wilayah itu sedang berdepan ancaman gelombang jangkitan COVID-19.
"Kami menyaksikan peningkatan bilangan kes jangkitan, dan dijangka berpotensi mencetuskan gelombang COVID-19 pada musim sejuk bermula Julai berlanjutan hingga Ogos," katanya, seperti dipetik Canberra Times pada Selasa (28 Jun).
"Kami menyedari perkara itu dan kami terus memantau bilangan kes untuk melihat sama ada trajektori itu akan kekal."
Kejadian berlaku selepas ACT merekodkan kadar kemasukan baru ke hospital akibat COVID-19.
Seramai 121 orang yang dijangkiti virus COVID-19 kini menerima rawatan di hospital ACT, merupakan angka tertinggi sejak permulaan wabak itu, menurut kemas kini terkini pada Selasa.
Jangkitan COVID-19 di wad barah di Hospital Canberra menyumbang kepada peningkatan itu.
Pengarah Wad klinikal, Paul Craft berkata pihak berkuasa masih menyiasat bagaimana COVID-19 sudah merebak di wad.
"Agak sukar mengesan sejauh mana penularan virus itu, kami masih mengusahakannya," katanya kepada Radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).
"Ia mungkin mengambil masa yang lama sebelum kita dapat pastikan bagaimana ia merebak"
Australia merekodkan 8,023,259 jangkitan COVID-19, termasuk 9,704 kematian, dan 226,653 kes aktif sehingga Isnin, menurut Jabatan Kesihatan Persekutuan.
Sementara itu, 3,133 kes masih dirawat di hospital termasuk 111 ditempatkan di unit rawatan rapi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.