Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Campur tangan awal mampu tangani Alzheimer

Demensia atau nyanyuk merupakan antara gejala yang sering ditemukan dalam kalangan warga emas.

Anggaran Waktu Membaca:
Campur tangan awal mampu tangani Alzheimer

Gambar fail: Gaya Chandramohan

Diterbitkan : 21 Sep 2021 10:28AM Dikemas Kini : 21 Sep 2021 10:31AM

KUALA LUMPUR: Demensia atau nyanyuk merupakan antara gejala yang sering ditemukan dalam kalangan warga emas.

Antara punca nyanyuk ialah Alzheimer, iaitu penyakit yang disebabkan oleh penyusutan atau penuaan sel otak.

Alzheimer boleh berlaku secara berperingkat dan individu yang menghidapi penyakit itu akan menunjukkan perubahan ketara dari segi keupayaan mental dan sosial.

Antara penyumbang kepada Alzheimer adalah kecelaan kognitif ringan (MCI), status transisi di mana penghidap mula mengalami masalah lupa namun tidak serius sehingga menjejaskan kehidupan seharian.  

45 PERATUS WARGA EMAS SEMENANJUNG M'SIA BERISIKO HIDAP ALZHEIMER

Kajian menunjukkan bahawa sekitar 45 peratus warga emas di Semenanjung Malaysia mengalami MCI, menurut Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia.

“Warga emas dengan kecelaan kognitif ringan mempunyai risiko lebih besar untuk menghidap penyakit Alzheimer, tetapi tidak semuanya akan berakhir dengan penyakit ini,” terang kata Timbalan Pengarah MyAgeing Prof Madya Dr Rahimah Ibrahim.

Namun, katanya, MCI tidak mengganggu kegiatan kehidupan seharian dan boleh ditangani jika ada intervensi awal.

INTERVENSI AWAL

Menurut Dr Rahimah, masalah MCI lazimnya mudah disedari oleh penghidap dan juga orang di sekeliling, sekali gus membolehkan intervensi segera dilakukan.

Intervensi segera dan berterusan seperti pengurusan penyakit, perubahan gaya hidup dan pembelajaran sepanjang hayat dilihat dapat mencegah, atau setidak-tidaknya melewatkan penurunan fungsi kognitif dalam kalangan warga emas, jelas beliau.

Menurut Dr Rahimah, kajian juga mendapati individu yang mempunyai pemahaman agama yang tinggi sukar mengalami neurodegeneratif. 

PERLU SOKONGAN

Tambah Dr Rahimah, penjagaan warga emas yang mengalami masalah Alzheimer memerlukan kefahaman masyarakat.

“Perlu kita faham, tatacara menguruskan pesakit Alzheimer tidak sama seperti menguruskan warga emas yang normal, apatah lagi penyakit ini tiada penawarnya.

"Ada yang menganggap mereka sudah nyanyuk, maka ramai yang mula menyisihkan warga emas ini sedangkan mereka memerlukan penjagaan rapi,” kata beliau.

Sementara itu, pelatih di Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) Dr Nor Azlina Abu Bakar berkata pendidikan berterusan kepada masyarakat mengenai Alzheimer perlu diperhebat menerusi ceramah, penyediaan bahan bacaan dan aktiviti perkongsian di antara pesakit dan penjaga. 

"Tanda-tanda awal penyakit ini hendaklah dihebahkan supaya diagnosis awal boleh dijalankan dan ini akan membantu pesakit merancang perjalanan kehidupannya dari segi rawatan perubatan, sosial, kewangan dan kekeluargaan. Kesedaran ini patut diperkenalkan di peringkat sekolah lagi," tegas beliau.  

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan