Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cameron Highlands bandar Malaysia paling bahagia 2024

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 meningkat 5.7 mata berbanding lima tahun sebelum ini, iaitu daripada 81.24 peratus pada 2019 kepada 86.94 peratus pada 2024.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia Nga Kor Ming berkata, bandar paling bahagia didahului Cameron Highlands, diikuti Jeli (Kelantan) dan Jerantut (Pahang).

"Ini menunjukkan kesejahteraan rakyat negara kita terpelihara melalui perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyediaan kemudahan yang menyumbang kepada persekitaran kehidupan selesa serta kondusif," katanya kepada media selepas melancarkan Sambutan Hari Kebahagiaan Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Putrajaya pada Jumaat (15 Mac).

Beliau berkata, bagi pengukuran Indeks Kebahagiaan pada 2024, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bersama 144 PBT membuat kajian dalam kalangan penduduk dan mendapati 71 peratus mencapai tahap bahagia, manakala 29 peratus mencapai tahap sederhana bahagia.

Di Malaysia, Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan mula disambut secara rasmi sejak 2015. 

Encik Nga berkata, keharmonian, keamanan dan masyarakat berbilang kaum adalah kunci kejayaan negara, justeru penting bagi masyarakat mengamalkan prinsip MADANI yang mengetengahkan sikap saling hormat-menghormati dan ihsan.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus mempergiatkan inisiatif yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seperti menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) komprehensif dan berdaya saing serta meningkatkan Program Penyelenggaraan Perumahan Berstrata.

Inisiatif lain termasuk melaksanakan Penarafan Bandar Pintar Malaysia, Operasi Pembasmian Berterusan Tapak Pelupusan Sampah Haram, Pelan Induk Ekonomi Kitaran, menambah baik Penyampaian Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) 3.0 Plus di PBT, dan membina 100 Taman Rekreasi Awam MADANI di seluruh Malaysia.

Encik Nga berkata KPKT melalui PLANMalaysia juga akan terus komited untuk melaksanakan dan merealisasikan perancangan bandar dan desa yang seimbang, terangkum dan saksama.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan