Skip to main content

Dunia

Calon Setiausaha Agung PBB gesa pembaharuan, perkasa hak asasi manusia

Beberapa calon yang bertanding untuk menjadi ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seterusnya menyeru agar hak asasi manusia diperkukuhkan, undang-undang antarabangsa dihormati dan pertubuhan itu diperkasakan menerusi pembaharuan semasa satu perdebatan di Geneva pada Selasa (9 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Calon Setiausaha Agung PBB gesa pembaharuan, perkasa hak asasi manusia

Rafael Mariano Grossi, calon bagi jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seterusnya, berucap semasa satu sesi dialog bersama para wakil di ibu pejabat PBB di New York City, Amerika Syarikat pada 21 April 2026. (Gambar fail: REUTERS/Eduardo Munoz)

Diterbitkan : 10 Jun 2026 07:37AM
  • Empat daripada lima calon ketua PBB membentangkan visi mereka dalam perdebatan di Geneva pada 9 Jun, menjelang tamat penggal Antonio Guterres hujung tahun ini.
  • Maria Fernanda Espinosa menekankan keperluan pemimpin bertenaga dan mencadangkan hab tindakan awal untuk menangani konflik.
  • Rebeca Grynspan dan Michelle Bachelet menyorot pentingnya kerjasama serantau serta hak asasi manusia sebagai teras, manakala Macky Sall menekankan pembangunan untuk keamanan.
  • PBB kini berdepan krisis kewangan, tunggakan bayaran Amerika Syarikat, serta cabaran kepercayaan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Dijana oleh AI
GENEVA: Beberapa calon yang bertanding untuk menjadi ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seterusnya menyeru agar hak asasi manusia diperkukuhkan, undang-undang antarabangsa dihormati dan pertubuhan itu diperkasakan menerusi pembaharuan semasa satu perdebatan di Geneva pada Selasa (9 Jun).

Empat daripada lima calon yang bertanding untuk menggantikan Setiausaha Agung Antonio Guterres, yang akan menamatkan penggal keduanya selama lima tahun pada hujung tahun ini, membentangkan visi mereka bagi jawatan tersebut sedang PBB berdepan krisis kewangan yang serius akibat pemotongan dana oleh para penderma utama bantuan kemanusiaan.

Pertubuhan tersebut juga sedang berdepan tunggakan bayaran Amerika Syarikat berjumlah AS$4 bilion (S$5.15 bilion), peningkatan konflik serta pelanggaran meluas terhadap undang-undang antarabangsa.

Maria Fernanda Espinosa, mantan Menteri Luar merangkap Pertahanan Ecuador, berkata krisis tersebut memerlukan seorang pemimpin yang bertenaga.

"Saat ini memerlukan seorang Setiausaha Agung yang berupaya mencetuskan kebangkitan semula, seorang Setiausaha Agung yang mampu memulihkan kewibawaan moral PBB," kata beliau sambil mencadangkan penubuhan sebuah hab tindakan awal untuk menangani konflik sebaik sahaja ia tercetus.

KEPERCAYAAN TERHADAP PERTUBUHAN ANTARABANGSA SEMAKIN TERHAKIS

Rebeca Grynspan, mantan Naib Presiden Costa Rica yang menyifatkan dirinya sebagai seorang individu yang membesar dengan semangat keamanan dan perpaduan, dengan ibu bapanya terpaksa melarikan diri dari Eropah sebagai pelarian semasa Perang Dunia II, menyeru agar PBB bekerjasama dengan lebih rapat bersama institusi-institusi serantau yang lain untuk memperkukuh keamanan dan keselamatan.

"Saya bertanding demi keamanan yang kini terancam dan kepercayaan terhadap PBB serta pertubuhan antarabangsa yang semakin terhakis," tegas Cik Grynspan.

Michelle Bachelet, mantan Presiden Chile, meletakkan hak asasi manusia sebagai teras visinya bagi jawatan tersebut. Ketika ditanya para wartawan selepas sesi perdebatan tersebut sama ada beliau berisiko dikenakan veto oleh Amerika Syarikat kerana menyokong hak reproduktif wanita, Cik Bachelet berkata beliau akan merasa berbesar hati sekiranya perkara itu berlaku.

"Hak asasi manusia penting, termasuk hak reproduktif... Setiausaha Agung perlu meneruskan perjanjian-perjanjian yang telah dipersetujui PBB," kata beliau sambil merujuk kepada Beijing +20, satu perjanjian global penting berhubung hak asasi wanita.

Macky Sall, mantan Presiden Senegal, memberitahu para perwakilan menerusi satu temu bual video yang dirakam lebih awal bahawa beliau akan menangani apa yang disifatkannya sebagai sistem antarabangsa yang semakin berpecah belah dengan meletakkan pembangunan sebagai teras usaha untuk mencapai keamanan.

"Kita mesti menang dalam memperjuangkan pembangunan dengan menggalakkan peluang pekerjaan bagi golongan muda dan kaum wanita, pelaburan, prasarana, keadilan iklim serta akses yang adil dari segi kewangan," kata Encik Sall.

Calon kelima, Rafael Grossi dari Argentina, yang kini merupakan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), memilih untuk tidak menyampaikan mesej dalam bentuk video.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita