Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Calon PRU15 perlu ada jenama tersendiri tambat pengundi muda, kata pemerhati politik

Anggaran Waktu Membaca:
Calon PRU15 perlu ada jenama tersendiri tambat pengundi muda, kata pemerhati politik

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Nov 2022 12:17PM Dikemas Kini : 08 Nov 2022 12:18PM

GEORGE TOWN: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu bijak memainkan penjenamaan politik mereka untuk tampil lebih menarik kepada pengundi muda.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian, berkata kebanyakan pengundi muda masih ‘atas pagar’ dalam memilih calon masing-masing.

“Ada kemungkinan untuk mereka memilih tidak keluar mengundi, bagaimanapun, jika seseorang pemimpin yang mempunyai ‘jenamanya’ yang tersendiri yang boleh ‘dijual’ oleh parti dan individu yang boleh diteladani, pengundi muda ini akan keluar untuk menyokong pemimpin tersebut.

“Ini adalah kerana ejen sosialisasi yang boleh mempengaruhi pengundi muda tersebut adalah pemimpin parti itu sendiri selain keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan media,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, lebih 68,000 pengundi daripada lebih 1.2 juta pengundi berdaftar di Pulau Pinang sahaja adalah dalam lingkungan umur 18 hingga 20 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), wakil PH mendominasi kerusi Parlimen Pulau Pinang iaitu daripada keseluruhan 13 kerusi, DAP memenangi tujuh kerusi dan PKR empat manakala BN menerusi UMNO meraih dua kerusi.

KEPRIHATINAN ANAK MUDA

Sementara itu, Kishan Deepak Buxani, 25 tahun, dari Batu Ferringhi, berharap calon yang bertanding dapat mengetengahkan isu pengangguran belia dalam kempen politik mereka kerana ia semakin menjadi kebimbangan dalam kalangan anak muda.

“Tidak ramai calon yang bercakap tentang perkara ini dan tiada hala tuju atau dasar bagaimana isu ini akan ditangani sekiranya mana-mana gabungan memenangi pilihan raya. Antara isu mendesak pengundi muda termasuk pekerjaan, gaji dan kos sara hidup,” katanya.

Encik Kishan, yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sains Politik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), berkata ramai rakannya tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman untuk mengundi tetapi berhadapan dengan dilema sama ada menggunakan wang untuk tambang perjalanan bagi mengundi atau menggunakan duit itu untuk perbelanjaan makanan bulan depan, katanya.

Encik Kishan dan tiga rakannya mengasaskan gerakan yang dipanggil #SiswaBalik untuk mendekati belia yang belajar di Sarawak dan mendapati bahawa 76.7 peratus responden berharap untuk pulang ke kawasan pilihan raya mereka tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tambang perjalanan yang mahal.

“Apa yang lebih mengejutkan 49.7 peratus daripada mereka adalah pelajar yang berasal dari Sarawak. Oleh itu, kami memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan undi pos bagi pelajar dan kerajaan disaran bekerjasama dengan syarikat pengangkutan untuk mendapatkan kadar tambang berpatutan untuk pelajar menempah pengangkutan masing-masing,” ujarnya lagi.

Selain itu, seorang pelayan di sebuah kedai makan di Penanti, Muhammad Afiq Syazani, 21 tahun, berkata beliau mahu melihat calon PRU yang bersungguh-sungguh membawa penambahbaikan kepada kehidupan masyarakat di kawasan itu.

Beliau juga berkata mahu memangkah calon yang boleh menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan yang bergaji lebih tinggi kepada penduduk di sini dan menaik taraf prasarana di kawasan perkampungan setaraf dengan kawasan bandar.

“Antara perkara yang boleh dilihat adalah dari segi prasarana jalan raya. Kebanyakan jalan di dalam kawasan kampung sempit dan sukar untuk diakses. Ini boleh menjadi masalah pada waktu puncak kerana ramai penduduk bekerja di kawasan luar.

“Tambahan pula, jika lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, maka penduduk tidak perlu keluar jauh untuk mencari rezeki,” katanya.

SPR menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan