Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Calon PRU15 giat berkempen di media sosial, tarik sokongan pengundi

Anggaran Waktu Membaca:
Calon PRU15 giat berkempen di media sosial, tarik sokongan pengundi

(Gambar: Nathan Dumlao/Unsplash)

KUALA LUMPUR: Proses kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memasuki hari keenam dengan calon bertanding giat menggunakan media sosial sebagai antara platform untuk menarik sokongan pengundi.

Kebanyakan calon bertanding itu menunjukkan kreativiti masing-masing dengan memuat naik video yang mengandungi aktiviti kempen mereka kepada pengundi menggunakan platform seperti Facebook, WhatsApp dan TikTok.

Ada juga dalam kalangan calon PRU15 tidak lagi mencetak risalah manisfesto mereka secara fizikal untuk tatapan masyarakat, sebaliknya meletakkan kod 'QR' dan poster elektronik untuk dikongsi secara besar-besaran menerusi aplikasi WhatsApp serta Facebook.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, yang juga calon Parlimen Pagoh umpamanya membuat video TikTok 'Swipe', lagu hip hop yang dipopularkan oleh penyanyi Singapura, Alyph.

Dalam video selama 15 saat itu, Encik Muhyiddin dilihat menunjukkan logo PN dengan manifesto parti itu 'Prihatin, Bersih, Stabil' dengan jari telunjuknya dan mendapat lebih 322,000 tanda suka daripada warga net. 

Calon PH Parlimen Puchong Yeo Bee Yin pula menampilkan diri dengan mendukung anak lelakinya berusia setahun dalam poster PRU15, yang diedarkan menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook dalam empat bahasa - Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin. 

Dalam poster bertajuk 'Fakta Tentang Bee Yin' itu, ibu kepada dua anak lelaki tersebut turut menyelitkan biodata dan latar belakang kerjaya politiknya sebagai bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, selain bekas jurutera kimia serta penerima Biasiswa Cambridge Gates. 

Calon BN Kuala Selangor, yang juga Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz, pula memanfaatkan platform Facebook dan TikTok dalam menghasilkan video rangkuman kempen hariannya untuk tatapan pengundi. 

Selain video dan manifesto, beliau turut berkongsi jadual kempen hariannya dalam bentuk poster menerusi akaun Facebook rasminya, Tengku Zafrul. 

Timbalan Pengerusi PN, yang juga penyandang kerusi Parlimen Tambun, Ahmad Faizal Azumu turut memuat naik video di Facebook yang memaparkan papan iklan berbunyi "Never Lost in Tambun" (Tidak Pernah Kalah di Tambun) bagi menarik pengundi. 

Papan iklan itu memaparkan wajah Encik Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Presiden Bersatu, dan dipasang di jambatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Jalan Tambun.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan