Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Calon PRN di Terengganu beri tumpuan khusus pikat undian belia

Anggaran Waktu Membaca:

TERENGGANU: Golongan belia di Terengganu dijangka memainkan peranan besar dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu (12 Ogos).

Justeru, para calon memberi tumpuan khas kepada keperluan belia di negeri itu semasa melakarkan manifesto mereka.

Di tengah hiruk-pikuk pasar tempatan Kuala Terengganu, berdiri Asyraf Hadi, 26 tahun, seorang pedagang beg-beg anyaman serta produk kraftangan lain.

Asyraf memulakan perniagaannya sendiri sekitar dua tahun lalu, ketika peluang pekerjaan menjadi terhad akibat kesan pandemik COVID-19.

Encik Asyraf berkata: "Bagi saya, budak muda perlu diberi banyak peluang perniagaan, menceburi peniagaan.Jadi kerajaan perlu memberi peluang, contohnya, memberi kedai ataupun membuat program untuk budak-budak muda menceburi bidang peniagaan."

Aspirasi Encik Asyraf mencerminkan harapan ramai lagi anak muda di Terengganu yang ingin meningkatkan kehidupan mereka serta mengorak masa depan lebih cerah.

Separuh daripada pengundi di Terengganu berusia di bawah 40 tahun. Generasi itu jugalah yang menjadi teras bagi parti-parti politik membangun manifesto dan strategi masing-masing.

Kerajaan PAS telah mengukuhkan komitmen mereka kepada generasi muda Terengganu, dengan berikrar untuk menubuhkan satu Dana Keusahawanan Muda bernilai AS$1.1 juta (S$1.5 juta), serta menawarkan pinjaman tanpa faedah bagi pembelian motosikal.

Pengarah Pilihan Raya PAS Ariffin Deraman berkata: "Kita sentiasa mendekati orang muda, kerana kita tahu kalau dalam konteks pilihan raya, memang pengundi muda ni memang menjadi penentu lah."

Satu muka baru dalam persaingan politik di sini adalah parti yang mewakili golongan belia, iaitu MUDA.

Calonnya, seorang anak tempatan berusia 29 tahun, ingin mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji lumayan untuk anak-anak muda di Terengganu.

Calon MUDA di Terengganu Luqman Long berkata: "Kita ada banyak persatuan orang-orang muda di Terengganu, ada persatuan meniaga, persatuan 'start up' (syarikat pemula), ada persatuan digital untuk anak-anak Terengganu. Semua itu kita perlu melakukan program untuk tarik anak-anak Terengganu yang masih di Terengganu untuk menceburi bidang ini."

Tidak mahu ketinggalan, Kerajaan Perpaduan yang menubuhkan yayasan kebajikan untuk belia, selain menyediakan latihan vokasional dan menawarkan bantuan wang tunai kepada para pelajar.

Dengan hari mengundi semakin hampir, semua perhatian tertumpu kepada kuasa para pengundi muda, kerana pilihan mereka bakal menentukan masa depan Terengganu seterusnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan