Skip to main content

Dunia

Calon presiden, naib presiden Indonesia didakwa langgar undang-undang pilihan raya

Anggaran Waktu Membaca:
Calon presiden, naib presiden Indonesia didakwa langgar undang-undang pilihan raya

(Gambar: Antara Foto/Aditya Pradana Putra)

SINGAPURA: Para calon presiden dan naib presiden Indonesia berdepan sejumlah kesalahan berkempen daripada mengagihkan susu percuma kepada membaca syair. Namun, para penganalisis berkata dakwaan sedemikian tidak mungkin menjejas sokongan para pengundi dalam pilihan raya pada bulan depan.

Para penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa kesalahan-kesalahan "kecil" yang didakwa melanggar undang-undang berkempen,mungkin tidak dikenakan sebarang hukuman, dan dianggap sebahagian pengundi sebagai "perbuatan biasa" semasa tempoh berkempen.

Pada Rabu (3 Jan), calon naib presiden Gibran Rakabuming Raka dilaporkan disoal oleh Pejabat Badan Pengawas Pemilihan Umum Indonesia (Bawaslu), kerana mengedarkan susu percuma kepada orang awam di sebuah acara Hari Bebas Kenderaan Bermotor (CFD) di Jakarta bulan lalu.
Berdasarkan undang-undang di bawah gabenor Jakarta 2016, "acara bagi kepentingan parti politik" di acara bebas kereta di ibu kota Indonesia itu tidak dibenarkan.

Encik Gibran, anak lelaki Presiden Indonesia Joko Widodo, akan bertanding dalam pilihan raya bersama calon presiden Prabowo Subianto.

Menurut Benar News, Encik Gibran memberitahu para wartawan selepas disoal Bawaslu semalam bahawa kehadirannya di acara di Jakarta itu bukan satu promosi berkempen.

Sebelum ini, Encik Gibran juga dipersalahkan Suruhanjaya Pemilihan Umum Indonesia (KPU) kerana memberi isyarat kepada para penyokongnya untuk memberikan tepukan kepada Encik Prabowo, ketika perbahasan presiden yang pertama bulan lalu.

Pada Disember tahun lalu, sepanduk memaparkan Encik Prabowo dan Encik Gibran di monumen 'Selamat datang ke Batam' diturunkan oleh Bawaslu, kerana ia melanggar undang-undang berkempen, lapor media tempatan.

Sementara itu, dua lagi calon naib presiden, Encik Mahfud MD dan Encik Muhaimin Iskandar, juga dilaporkan kepada Bawaslu pada November tahun lalu dan dituduh berkempen lebih awal daripada tempoh rasmi.

Encik Mahfud adalah calon naib presiden kepada mantan gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo dari Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang sedang memerintah, manakala Encik Muhaimin berganding dengan mantan gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Menurut laporan Jakarta Post, kedua-dua calon naib presiden membaca syair pada 14 November, yang menggesa orang awam untuk mengundi calon presiden masing-masing dalam pilihan raya bulan depan.

Ini berlaku semasa majlis mencabut nombor urutan para calon iaitu dua minggu sebelum tempoh rasmi berkempen.

Dalam respons kepada laporan itu, pihak Encik Mahfud dan Encik Muhaimin menyatakan syair tersebut dibacakan sebagai gurauan dan bukan ditujukan untuk meraih undi. Pada 7 Disember lalu, Bawaslu memutuskan bahawa syair itu tidak melanggar sebarang undang-undang atau peraturan.

PERKARA YANG DIBENARKAN DAN TIDAK DIBENARKAN SUDAH DINYATAKAN DENGAN JELAS

Encik Beltsazar Krisetya, seorang penyelidik di Pusat Pengajian Strategi dan Antarabangsa di Indonesia, memberitahu Mediacorp dari sisi isu peraturan, "KPU sudah menyatakan perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk para calon".

Cik Khoirunnisa Nur Austiyati, pengarah eksekutif Pertubuhan Pilihan Raya dan Demokrasi (Perludem), memberitahu Mediacorp bahawa "apa yang dilakukan Encik Gibran pada acara hari bebas kereta itu sebenarnya adalah aktiviti berkempen".

Beliau menarik perhatian bahawa tindakan Encik Gibran sebagai memaparkan "imej sendiri", di mana beliau cuba mempromosikan pandangan positif tentang dirinya dan dilihat sebagai satu bentuk berkempen di bawah undang-undang pilihan raya.

Tindakan Encik Gibran membahagikan susu itu tambah Cik Khoirunnisa juga mencabuli peraturan di Jakarta yang tidak membenarkan hari bebas kereta digunakan untuk kepentingan parti-parti politik.

"Adalah diharapkan pihak penganjur pilihan raya akan tega bertindak tegas dan mengambil tindakan terhadap pencabulan kempen supaya tiada lagi kegiatan yang berunsur kempen untuk pilihan raya tetapi tidak boleh diselia sebagai kempen pilihan raya," kata Cik Khoirunnisa.

PELANGGARAN UNDANG-UNDANG TIDAK JEJAS SOKONGAN TERHADAP CALON

Encik Wasisto Raharjo Jati, seorang penyelidik di Agensi Pusat Pengajian dan Inovasi untuk Politik, memberitahu Mediacorp bahawa pelanggaran terkait dengan kempen calon tidak akan menjejas keputusan pilihan raya. Ini disebabkan keputusan tinjauan menunjukkan jumlah besar penyokong sudah memilih siapa yang mereka akan undi pada 14 Februari.

Sebaliknya, kemungkinan besar pelanggaran tersebut akan menggalak pengundi untuk "berpegang kuat kepada pilihan politik mereka, meskipun tuduhan tersebut adalah benar", tambah Encik Wasisto.

Walau bagaimanapun, bagi sekumpulan kecil pengundi yang masih belum memilih, pelanggaran kempen itu mungkin bertindak sebagai dorongan supaya mereka mengundi, disebabkan keprihatinan mereka terhadap pelanggaran yang berlaku dan berdasarkan idealisme mereka.

Encik Beltsazar menarik perhatian bahawa setakat ini, pelanggaran yang didakwa itu tidak akan membawa kepada sebarang hukuman atau denda kerana ia dianggap sebagai "perkara biasa". Namun, pelanggaran tersebut boleh digunakan sebagai peluru politik oleh kumpulan-kumpulan berbeza.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita