Calon presiden Colombia cedera parah ditembak ketika berkempen

Pegawai polis mengawal kawasan di mana Senator Colombia Miguel Uribe Turbay dari parti pembangkang Pusat Demokratik ditembak semasa acara kempen di Bogota, Colombia, pada 7 Jun 2025 (Gambar: Luisa Gonzalez/Reuters)
Senator Miguel Uribe yang berusia 39 tahun sedang berucap kepada para penyokongnya di barat ibu kota negara itu apabila seorang lelaki menembaknya dua kali di kepala dan sekali di lutut sebelum penembak itu ditahan.
Gambar-gambar dari tempat kejadian menunjukkan Encik Uribe tersungkur di bonet sebuah kereta putih, dengan berlumuran darah, sedang sekumpulan lelaki cuba memegang beliau dan menghentikan pendarahan pada badannya.
Seorang pengawal keselamatan berjaya menahan suspek berkenaan, yang dipercayai seorang remaja berusia 15 tahun.
Pengarah polis Carlos Fernando Triana berkata suspek cedera semasa satu pergelutan dan sedang menerima rawatan.
Dua orang lain - seorang lelaki dan seorang wanita - juga cedera, dan senjata api jenis Glock turut dirampas.
Motif serangan itu belum diketahui secara umum, dan menteri pertahanan Colombia berikrar bahawa pihak tentera, polis dan perkhidmatan perisikan akan menggunakan "segala keupayaan mereka" untuk menyiasat kejadian itu.
Menteri itu, Pedro Sanchez, juga mengumumkan ganjaran kira-kira US$725,000 (S$934,910) untuk maklumat mengenai dalang di sebalik serangan itu.
Serangan tersebut dikecam pelbagai pihak dalam dan luar negara, dengan Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio menyifatkannya sebagai "ancaman langsung kepada demokrasi".
Encik Rubio menuding jari pada presiden sayap kiri Colombia Gustavo Petro, sambil mendakwa serangan itu adalah "akibat retorik sayap kiri yang ganas, yang tercetus dari peringkat tertinggi pemerintah Colombia."
"Presiden Petro perlu mengurangkan retorik yang menghasut rakyatnya dan melindungi para pegawai Colombia," kata diplomat tertinggi Amerika itu.
Presiden Petro dengan tegas mengecam serangan itu.
"Tindakan keganasan ini bukan sahaja serangan terhadap dirinya, tetapi juga terhadap demokrasi, kebebasan berfikir, dan pelaksanaan politik yang sah di Colombia," menurut kenyataan presiden itu.
Presiden Petro dijadualkan untuk berucap kepada negara pada lewat malam Sabtu (7 jun).
Encik Uribe, seorang pengkritik kuat Petro, adalah anggota parti Pusat Demokratik, yang mengumumkan niatnya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2026 pada Oktober lalu.
Pihak berkuasa mengatakan bahawa tiada ancaman khusus dibuat terhadap ahli politik itu sebelum kejadian tersebut. Seperti ramai tokoh awam di Colombia, Encik Uribe mempunyai kawalan keselamatan peribadi yang rapi.
Negara itu diketahui menjadi sarang beberapa kumpulan gerila bersenjata, kumpulan jenayah berkuasa dan mempunyai sejarah keganasan politik yang panjang.
Encik Uribe adalah anak kepada Diana Turbay, seorang wartawan Colombia terkenal yang dibunuh selepas diculik oleh Kartel Medellin Pablo Escobar.
Salah seorang datuknya adalah mantan presiden Colombia Julio Cesar Turbay, yang memimpin negara itu dari 1978 hingga 1982.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.