Skip to main content

Dunia

Calon PM Thailand Pita Limjaroenrat sasar bentuk 'kerajaan demokratik' dengan pakatan 8 parti

Anggaran Waktu Membaca:
Calon PM Thailand Pita Limjaroenrat sasar bentuk 'kerajaan demokratik' dengan pakatan 8 parti

Encik Pita Limjaroenrat (tengah) menghadiri sidang media pada 18 Mei 2023. (Gambar: Move Forward Party)

BANGKOK: Calon Perdana Menteri Thailand mengumumkan pada Khamis (18 Mei), Parti Move Forward akan membentuk kerajaan demokratik dengan tujuh sekutu politik. Ini setelah parti tersebut menduduki tempat teratas dengan 151 kerusi pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Pakatan tersebut terdiri daripada lapan parti iaitu Move Forward, Pheu Thai, Prachachat, Thai Liberal Party, Thai Sang Thai, Fair, Plung Sungkom Mai dan Pue Thai Rumphlang. Secara bersama, pakatan itu memperoleh 313 kerusii daripada 500 kerusi Dewan perwakilan.

Encik Pita mengisytiharkan hasrat bersama parti-parti tersebut untuk membentuk "sebuah kerajaan demokratik rakyat".

"Setiap undi daripada rakyat adalah suara harapan, suara perubahan. Kerajaan baru ini akan menjalankan tugasnya dengan penuh jujur terhadap kuasa rakyat dan menjadi kerajaan bagi setiap rakyat Thailand," kata Encik Pita yang berusia 42 tahun pada satu sidang media, yang berlangsung di Hotal The Okura Prestige Bangkok.

"Setiap parti bersetuju untuk menyokong pemimpin Parti Move Forward - saya, Pita Limjaroenrat - untuk menjadi Perdana Menteri ke-30, berdasarkan majoriti undian rakyat di pilihan raya tersebut."

Encik Pita juga mendedahkan pakatan tersebut sedang mengusahakan memorandum persefahaman (MOU) bagi menentukan hala tuju bersama. MOU tersebut bertujuan untuk menghuraikan krisis politik, ekonomi dan sosial di Thailand dan akan dikongsi kepada umum pada 22 Mei.

Tarikh tersebut juga menandakan ulang tahun ke-19 sejak rampasan kuasa tentera diketuai Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha, yang merampas kuasa daripada kerajaan Cik Yingluck Shinawatra yang dipilih secara demokratik pada 22 Mei 2014.

Pada Khamis, Encik Pita juga mendedahkan bahawa pakatan tersebut sedang dalam proses membentuk jawatankuasa bagi memastikan peralihan lancar bagi pembentukan kerajaan baru itu.

Sebilangan besar daripada parti pakatan tersebut pernah bekerja bersama di pihak pembangkang apabila Jeneral Prayut memimpin kerajaan tersebut.

Encik Prayut bertanding dalam pilihan raya Ahad lalu (14 Mei), dengan harapan dapat mengekalkan kuasa setelah lebih daripada lapan tahun menyandang jawatan tersebut.

Keputusan awal yang diterbitkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada Isnin bagaimanapun menunjukkan Parti Move Forward mendahului dengan 152 kerusi. Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi Parti Pheu Thai, dengan 141 kerusi serta Parti Bhumjaithai dengan 70 kerusi.

Parti Negara Thailand Bersatu (UTN) Jeneral Prayut mengalami kekalahan teruk selepas partinya menduduki tempat kelima dengan 36 kerusi, di belakang Parti Palang Pracharat, yang meraih tempat keempat dengan 40 kerusi.

Meskipun Encik Pita dan sekutunya mempunyai majoriti kerusi Dewan Rakyat, jawatan Perdana Menteri masih belum terjamin.

Di bawah perlembagaan Thailand sekarang, pemilihan perdana menteri melibatkan kedua-dua Dewan Rakyat dan 250 anggota Senat - dewan tertinggi parlimen.

Untuk Encik Pita menjadi perdana menteri, beliau mesti diluluskan oleh lebih separuh daripada gabungan perhimpunan tersebut. Ini bermakna beliau perlu mendapat sekurang-kurangnya 376 undi - sama ada daripada kedua-dua Dewan atau hanya daripada Dewan Rakyat - untuk menyandang jawatan perdana menteri.

Mereka yang bakal menentukan kelayakan Encik Pita untuk menyandang jawatan tersebut, terdiri daripada 250 anggota Senat, yang dipilih dan dilantik oleh kerajaan tentera Jeneral Prayut setelah rampasan kuasa pada 2014.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita