Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Calon PM Thai Paetongtarn Shinawatra selamat bersalin 2 minggu sebelum pilihan raya

Anggaran Waktu Membaca:

BANGKOK: Paetongtarn Shinawatra, calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Thailand akan datang, selamat melahirkan seorang bayi lelaki hanya dua minggu sebelum pilihan raya berlangsung.

Cik Paetongtarn, yang merupakan anak bongsu kepada mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra memuat naik gambar bersama pasangannya dan bayi mereka yang diberi nama Prutthasin Sooksawas di media sosial pada Isnin (1 Mei). 

“Helo, nama saya Prutthasin Sooksawas, nama panggilan Thasin. Terima kasih atas sokongan anda semua. 

“Dalam beberapa hari lagi, tunggu ibu saya kembali pulih, saya akan berjumpa dengan media,” menurut hantaran itu.

Cik Paetongtarn yang berusia 36 tahun yang juga dikenali dengan gelaran "Ung Ing" merupakan seorang daripada tiga calon perdana menteri dari Parti Pheu Thai untuk Pilihan Raya Umum pada 14 Mei.

Beliau menduduki tempat pertama atau kedua dalam tinjauan pendapat sebagai calon perdana menteri.

Sementara itu, dalam ciapan melalui @ThaksinLive, Encik Thaksin berkata beliau akan meminta kebenaran untuk kembali ke tanah air kerana mahu menjaga cucunya.

Mantan perdana menteri itu berkata beliau sangat gembira menerima berita mengenai kelahiran cucu ketujuhnya namun beliau berkata semua cucunya telah dilahirkan semasa beliau hidup dalam buangan.

“Saya akan meminta izin untuk pulang menjaga cucu memandangkan usia saya akan mencecah 74 tahun Julai ini. Jumpa lagi,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Encik Thaksin, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006, hidup dalam buangan sejak 2008, menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai, selepas kerajaannya digulingkan oleh pasukan tentera yang diketuai Jeneral Sonthi Boonyaratglin semasa beliau menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York pada September 2006.

Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak daripada berdepan hukuman penjara. 

Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun tanpa kehadirannya kerana salah guna kuasa.

Sementara itu, adik Encik Thaksin dan mantan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra turut mengucapkan tahniah kepada Paetongtarn dan suaminya atas kelahiran bayi kedua mereka.

“Saya percaya datuk (Thaksin) tidak sabar untuk bertemu cucunya. Saya menantikan hari untuk berjumpa anda, cucu saya,” katanya dalam ciapan tersebut.

Cik Yingluck juga hidup dalam buangan selepas kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Prayut Chan-o-cha.

Encik Prayut, yang menjadi perdana menteri selepas pilihan raya 2019, berada di tempat keempat dalam tinjauan calon perdana menteri pada pertengahan April.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan