Skip to main content

Dunia

Calon pilihan raya Thailand mula daftar bertanding

Anggaran Waktu Membaca:
Calon pilihan raya Thailand mula daftar bertanding
Penyokong Parti Prachachat memegang sepanduk pada hari pertama pendaftaran bagi Pilihan Raya Umum Thailand di wilayah selatan Narathiwat pada 27 Disember 2025. (Gambar: AFP)
Diterbitkan : 27 Dec 2025 09:19PM Dikemas Kini : 27 Dec 2025 09:20PM

BANGKOK: Thailand pada Sabtu (27 Dis) memulakan tempoh kempen bagi pilihan raya umum 8 Februari apabila parti politik di seluruh negara mula mendaftarkan calon masing-masing untuk bertanding bagi kerusi Dewan Perwakilan.

Pendaftaran calon dibuka pada Sabtu dan akan berlangsung sehingga 31 Disember, dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 4.30 petang (waktu tempatan), di seluruh Bangkok dan 76 wilayah lain.

Menurut Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (ECT), calon dikehendaki mengemukakan permohonan secara fizikal kepada pegawai pilihan raya daerah masing-masing.

Di Bangkok, Pusat Belia Bangkok (Thai-Jepun) di Din Daeng, yang menjadi lokasi pendaftaran calon bagi 33 kawasan pilihan raya di ibu negara, menyaksikan kehadiran ramai calon dan penyokong sejak awal pagi Sabtu.

Antara yang hadir ialah calon perdana menteri Parti Pheu Thai Yodchanan Wongsawat, pemimpin Parti Rakyat dan calon perdana menteri Natthaphong Ruengpanyawut, ketua Parti Demokrat dan calon perdana menteri Abhisit Vejjajiva, serta penyelaras Parti Bhumjaithai di Bangkok, Ekanat Promphan.

Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Bangkok, Samphan Saengkamlaert, berkata proses pendaftaran bermula awal Sabtu dengan calon hadir mengikut kawasan masing-masing bagi mengemukakan dokumen dan melengkapkan prosedur pengesahan.

“Calon boleh memulakan kempen sebaik menerima nombor pengenalan dan dibenarkan memaparkan nombor berkenaan pada bahan kempen,” katanya kepada pemberita di Pusat Belia Bangkok.

Beliau menambah bahawa Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Bangkok mengeluarkan garis panduan jelas mengenai lokasi yang dibenarkan untuk mempamerkan bahan kempen, sambil mengingatkan calon supaya tidak menghalang lalu lintas, mengganggu pandangan atau menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya dan orang awam.

Samphan berkata pihaknya bersedia sepenuhnya bagi proses pendaftaran calon di kesemua 33 kawasan pilihan raya, sambil mengingatkan penyokong supaya tidak mengadakan sebarang bentuk sambutan atau aktiviti hiburan yang boleh melanggar undang-undang pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 Feb 2026 sebagai hari pengundian bagi pemilihan Ahli Dewan Perwakilan, manakala pengundian awal dijadualkan pada 1 Februari.

Di bawah sistem pilihan raya dua undi Thailand, pengundi akan memilih 500 Ahli Dewan Perwakilan untuk tempoh lima tahun, dengan kesemua kerusi dipertandingkan.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita