Calon Pilihan Raya Presiden Korea Selatan siap sedia untuk debat televisyen yang pertama
Calon-calon dalam pilihan raya presiden Korea Selatan akan bertemu bagi debat televisyen pertama mereka pada malam Ahad (18 Mei), waktu tempatan.
Calon presiden Korea Selatan: Lee Jae-myung dari Parti Demokratik (kiri) dan Kim Moon-soo dari Parti Kuasa Rakyat. (Gambar: REUTERS/Kim Hong-Ji)
Perdebatan itu adalah yang pertama daripada tiga sesi yang dijadualkan dalam tempoh dua minggu akan datang. Perdebatan tersebut akan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan semula ekonomi negara itu, yang merupakan antara isu hangat dalam pilihan raya kali ini.
Ekonomi keempat terbesar di Asia itu sedang berdepan cabaran selepas ekonominya menguncup pada suku pertama tahun ini.
Jumlah eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang merosot, di samping keadaan politik tidak menentu serta tarif Amerika ke atasnya telah menjejas keyakinan pasaran.
Seoul telahpun memulakan rundingan dagangan dengan Washington dan sedang berusaha untuk mendapatkan pengecualian daripada tarif tersebut.
Selepas Presiden Amerika Donald Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas Korea Selatan pada April, Seoul menjadi antara negara pertama yang mengadakan rundingan secara bersemuka dengan Washington, susulan langkah yang diambil Jepun.
Encik Lee Jae-myung, calon Parti Demokratik yang juga pembangkang utama, sedang mendahului pesaing-pesaingnya.
Encik Lee berikrar untuk meningkatkan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) sehingga 100 trilion won (S$93.01 bilion) serta menawarkan kredit cukai pengeluaran sehingga 10 peratus bagi semikonduktor yang dihasilkan dan dijual dalam negara.
Encik Kim Moon-soo, calon presiden daripada Parti Kuasa Rakyat yang konservatif, pula berjanji untuk menubuhkan sebuah agensi pemerintah khusus bagi memacu pembaharuan dari segi peraturan di samping melabur lebih 5 peratus daripada belanjawan negara untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.
Encik Lee kini mendahului dengan 51 peratus sokongan dalam tinjauan Gallup Korea yang disiarkan pada Jumaat, manakala Encik Kim ketinggalan dengan 29 peratus.
Mantan presiden Yoon telah disingkirkan bulan lalu susulan pengisytiharan undang-undang tentera di negara itu pada 3 Disember. Tindakan Encik Yoon itu turut mencetuskan ketidaktentuan politik dan membuka laluan bagi pilihan raya akan datang.
Encik Lee turut menyeru diadakan pembaharuan perlembagaan dengan menetapkan tempoh jawatan presiden selama empat tahun bagi setiap penggal dan dihadkan kepada dua penggal.
Beliau juga mencadangkan agar sistem dua pusingan diperkenalkan dalam pilihan raya presiden, yang akan dilaksanakan melalui pengundian rakyat.
Presiden Korea Selatan pada masa ini berkhidmat untuk satu penggal selama lima tahun.
Encik Lee juga berikrar untuk mengehadkan kuasa presiden dalam mengisytiharkan udang-undang tentera dan memastikan pihak yang bertanggungjawab atas pengisytiharan pada 3 Disember dibawa ke muka pengadilan.
“Kita mesti menggembleng kekuatan rakyat untuk membasmi (mereka) dan memastikan (mereka) benar-benar bertanggungjawab,” katanya dalam satu sidang media.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.