Calon Pilihan Raya Presiden Indonesia berdebat mengenai rasuah dan undang-undang
Presiden Indonesia, Joko Widodo menuduh pesaingnya, dalam Pilihan Raya Presiden akan datang, Prabowo Subianto membenarkan calon-calon yang terbabit rasuah bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan tiket parti Encik Prabowo.
JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo menuduh pesaingnya, dalam Pilihan Raya Presiden akan datang, Prabowo Subianto membenarkan calon-calon yang terbabit rasuah bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan tiket parti Encik Prabowo.
Kedua-dua calon Pilihan Raya Presiden itu bersemuka dalam perdebatan pertama menjelang pengundian pada April ini.
Perdebatan sulung itu berlangsung di Jakarta dan kedua-dua pihak membuat kenyataan-kenyataan yang tegas terhadap satu sama lain.
Ia berkisar kepada isu-isu rasuah, pencabulan hak asasi manusia dan kecenderungan undang-undang.
"Kepastian hukum, penegakan hukum, institusi-institusi hukum terutama hakim, jaksa dan polis adalah prasyarat bagi satu negara yang berhasil. Untuk itu kami, apabila menerima mandat dari rakyat, hal ini yang akan kami perkuat, hal ini akan kami perbaiki," menurut Encik Prabowo Subianto.
"Kami tidak ingin banyak bicara, kami sudah faham persoalan bangsa ini dan tahu apa yang harus kami lakukan. Kami tidak punya potongan diktator atau otoriter. Kami tidak punya rakam jejak melanggar HAM (hak asasi manusia). Kami tidak punya rakam jejak melakukan kekerasan. Kami juga tidak punya rakam jejak masalah korupsi. Jokowi-Amin akan pertaruhkan jabatan dan reputasi dan akan kami gunakan semua kewenangan yang kami miliki untuk perbaikan bangsa ini," menurut Presiden Joko Widodo.
Presiden Jokowi dan calon Naib Presidennya, Ma'ruf Amin memperjuangkan sistem berdasarkan merit agar mereka yang benar-benar layak, dapat pekerjaan yang tepat.
Gandingan Jokowi-Ma'ruf juga berikar untuk melaksanakan undang-undang dengan ketat dalam semua perkara dan melakukan pembaharuan terhadap undang-undang yang perlu.
Selain itu mereka menegaskan bahawa pihak berkuasa sudahpun menangani rasuah dengan tegas.
Di pihaknya pula, Encik Prabowo dan calon Naib Presidennya, Encik Sandiaga Uno mendakwa bahawa para pegawai pemerintah tidak dibayar gaji dengan cukup.
Menurut mereka keadaan itu yang mendedahkan para pegawai kepada rasuah.
Sehubungan dengan itu gandingan Prabowo-Sandiago berjanji untuk menaikkan gaji para pekerja insitusi-institusi pemerintah.
Mereka juga berikrar untuk mewujudkan pekerjaan, menaikkan nisbah cukai dan berusaha untuk menghentikan apa yang disebut "pembocoran keluar" wang dari Indonesia ke luar negeri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.