Calon PH DUN Bukit Batu positif COVID-19
Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern disahkan positif COVID-19 setelah melakukan Ujian Pantas Antigen (RTK).
(Gambar hiasan: Bernama)
JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern disahkan positif COVID-19 setelah melakukan Ujian Pantas Antigen (RTK).
Encik Chiong memaklumkan beliau akan menjalani kuarantin kendiri mengikut protokol kesihatan yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mohon jika ada yang bertemu dengan saya secara fizikal dalam beberapa hari yang lepas supaya turut menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19.
"Saya memohon maaf kerana terpaksa membatalkan segala perancangan program yang telah diaturkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (28 Feb).
Beliau berkata sudah menjadi amalannya untuk melakukan ujian kendiri harian sebelum memulakan program demi keselamatan semua.
Bagaimanapun, pasukan kempen beliau akan meneruskan kesemua aktiviti yang sudahpun dirancang di kawasan DUN berkenaan.
Encik Chiong menambah beliau akan meneruskan aktiviti kempen secara dalam talian dan digital, termasuk menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook dan saluran media sosial yang lain.
“Sama-samalah kita berdoa agar kesemua mereka yang sedang mengalami COVID-19 diberikan kesembuhan segera serta kekuatan buat petugas barisan hadapan KKM yang terus menanggung bebanan dalam menguruskan wabak ini. Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Jumpa anda dalam beberapa hari lagi!,” katanya.
DUN Bukit Batu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Encik Chiong dan Lee Ming Wen (Parti Warisan), Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) dan Suppayah Solaimuthu (Barisan Nasional).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.