Skip to main content

Dunia

Calon pengganti Menteri Besar Johor bakal dikemukakan

Nama bakal Menteri Besar Johor yang baru akan dikemukakan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah peletakan jawatan Osman Sapian mendapat keizinan beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
Calon pengganti Menteri Besar Johor bakal dikemukakan

Encik Muhyiddin Yassin. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 11 Apr 2019 12:34PM Dikemas Kini : 11 Apr 2019 12:37PM

KUALA LUMPUR: Nama bakal Menteri Besar Johor yang baru akan dikemukakan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah peletakan jawatan Osman Sapian mendapat keizinan beliau.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata demikian dalam kenyataan pada Rabu (10 Apr), lapor Malaysiakini.

"Nama bakal pengganti Menteri Besar akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk perkenan baginda sebaik sahaja peletakan jawatan Osman Sapian diperkenankan oleh Tuanku," kata beliau.

Sementara itu, menurut laporan Malaysiakini, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri meminta rakyat Johor dan anggota partinya supaya bertenang menyusuli peletakan jawatan Menteri Besar Johor Osman Sapian.

Beliau juga berharap proses peralihan kepimpinan di negeri itu berjalan dengan licin.

"Saya berharap proses penggantian Menteri Besar Johor akan berlangsung dengan teratur dan sempurna agar pentadbiran Kerajaan Negeri Johor berjalan dengan lancar.

"Adalah penting usaha memacu kemajuan negeri Johor tidak terganggu dengan peralihan kepimpinan ini.

"Saya meminta agar rakyat Johor amnya dan ahli-ahli parti terutamanya Bersatu agar bertenang dan terus merapatkan saf serta patuh dengan keputusan kepimpinan parti," kata Muhyiddin dalam catatan Facebooknya pada Rabu.

Awal dari itu, UMNO Johor pada Rabu membuat satu kejutan dengan mengusulkan bekas Pengerusi Perhubungan negeri itu - yang kini adalah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin - dilantik sebagai Menteri Besar baru bagi menggantikan Osman Sapian.

Ketua pembangkang Johor Hasni Mohammad berkata usulan supaya Muhyiddin menjadi Menteri Besar akan dibincangkan sewaktu beliau menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar esok (12 Apr), lapor Malaysiakini.

Pada 9 April lalu, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad mengumumkan semasa sidang media di parlimen bahawa Osman sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor.

Bagaimanapun, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan pada hari yang sama berkata Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah lama membuat keputusan untuk menukar Menteri Besar.

"Titah untuk tukar Menteri Besar dah lama. Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage, kononnya dia arahkan.

"Ke bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup-cukuplah politicking," tulisnya di Twitter.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita