Skip to main content

Dunia

Calon liberal Lee Jae-myung dipilih sebagai presiden Korea Selatan

Calon parti liberal Korea Selatan, Lee Jae-myung, dipilih sebagai presiden dalam pilihan raya tergempar negara tersebut pada Selasa (3 Jun), enam bulan selepas beliau berjaya melepasi sekatan tentera untuk mengundi menentang undang-undang tentera mengejut yang dikuatkuasakan pendahulunya yang telah digulingkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Calon liberal Lee Jae-myung dipilih sebagai presiden Korea Selatan

Lee Jae-myung, calon presiden daripada Parti Demokratik Korea Selatan, berucap kepada media sebelum bertemu penyokongnya di Incheon, Korea Selatan, pada 3 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Kim Soo-hyeo)

SEOUL: Calon parti liberal Korea Selatan, Lee Jae-myung, dipilih sebagai presiden dalam pilihan raya tergempar negara tersebut pada Selasa (3 Jun), enam bulan selepas beliau berjaya melepasi sekatan tentera untuk mengundi menentang undang-undang tentera mengejut yang dikuatkuasakan pendahulunya yang telah digulingkan.

Kemenangan Encik Lee dijangka membawa perubahan besar dalam landskap politik ekonomi keempat terbesar di Asia itu, berikutan tentangan hebat terhadap pengisytiharan undang-undang tentera yang mengakibatkan kejatuhan Encik Yoon Suk Yeol, calon konservatif luar parti yang sebelum ini mengalahkan Encik Lee dengan margin tipis pada pilihan raya 2022.

Dengan kesemua undi dikira, Encik Lee memperoleh 49.42 peratus daripada hampir 35 juta undi, manakala pencabarnya dari parti konservatif, Kim Moon-soo, meraih 41.15 peratus undi. Pilihan raya kali ini menyaksikan kadar penyertaan tertinggi sejak 1997, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan.

Encik Lee berkempen dengan ikrar untuk mengatasi “kuasa pemberontakan” yang diketuai Encik Yoon selepas penyingkirannya, kurang tiga tahun menjawat jawatan presiden dalam penggal lima tahun.

Sementara itu, Encik Kim pula memanfaatkan perbicaraan yang masih berjalan membabitkan Encik Lee dan gaya kepimpinannya yang agresif untuk menjanjikan masa depan tanpa “pemerintahan kuku besi.”

Encik Lee, 61 tahun, yang pernah bertugas sebagai peguam hak asasi manusia, menyifatkan pilihan raya pada Selasa (3 Jun) sebagai “hari penghakiman” terhadap pengisytiharan undang-undang tentera Encik Yoon dan kegagalan Parti Kuasa Rakyat (PPP) untuk menghentikan tindakan yang membawa padah itu.

“Misi pertama adalah untuk mengatasi pemberontakan secara tuntas dan memastikan tiada lagi rampasan kuasa tentera dengan senjata dan pedang dihalakan ke arah rakyat,” kata Encik Lee dalam ucapan kemenangannya di luar parlimen.

“Kita boleh mengatasi kesukaran sementara ini dengan kekuatan bersama rakyat kita yang memiliki keupayaan besar,” tambahnya.

Encik Lee disahkan secara rasmi sebagai presiden oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan pada Rabu, dan dengan serta-merta mengambil alih kuasa presiden dan panglima tertinggi.

Majlis angkat sumpah ringkas dijadualkan berlangsung di parlimen pada pukul 11.00 pagi (pukul 10.00 pagi waktu Singapura), menurut seorang pegawai kementerian dalam negeri.

Dalam pada itu, Encik Lee turut berikrar untuk memulihkan ekonomi dan mencari jalan damai dengan Korea Utara yang bersenjata nuklear melalui dialog dan kekuatan.

Pengisytiharan undang-undang tentera oleh Encik Yoon diikuti kekacauan selama enam bulan, yang menyaksikan tiga pemangku presiden mengambil alih tampuk pemerintahan. Beberapa perbicaraan jenayah berkaitan pemberontakan turut dikenakan terhadap Encik Yoon dan beberapa pegawai kanan.

Perkembangan-perkembangan tersebut menandakan kehancuran politik yang mengejut bagi mantan pemimpin itu, sekali gus menyerahkan jawatan presiden kepada pencabar utamanya.

Encik Yoon telah didakwa oleh parlimen yang diketuai Encik Lee, sebelum disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada April lalu, kurang tiga tahun selepas penggal lima tahunnya bermula, mencetuskan pilihan raya tergempar yang kini dijangka merombak kepimpinan politik negara serta dasar luar sekutu utama Amerika Syarikat itu.

Encik Lee sebelum ini menuduh PPP membiarkan percubaan mengisytiharkan undang-undang tentera, dengan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalangnya. Sebaliknya, parti itu didakwa cuba menyelamatkan jawatan presiden Encik Yoon.

Encik Kim merupakan menteri buruh dalam kabinet Encik Yoon ketika mantan presiden itu mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita