Calon ketua agensi perisikan Korea Selatan yakin Amerika akan balas serangan nuklear Korea Utara terhadap negaranya
Calon ketua agensi perisikan Korea Selatan berkata pada Khamis (19 Jun) beliau percaya Amerika Syarikat akan melancarkan serangan nuklear terhadap Korea Utara sekiranya Pyongyang melancarkan serangan nuklear ke atas Korea Selatan.
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berucap semasa meninjau kilang-kilang ketenteraan. (Gambar: KCNA via REUTERS)
Encik Lee Jong-seok berkata demikian semasa sesi perbicaraan pencalonannya apabila menjawab soalan sama ada beliau percaya Washington akan menyerang Korea Utara dan meletakkan Amerika Syarikat dalam bahaya walaupun Pyongyang melancarkan peluru berpandu balistik antara benua.
"Ya itulah kepercayaan saya," kata Encik Lee selepas berkata bahawa senario hipotesis di mana Korea Selatan diserang dengan senjata nuklear oleh Korea Utara berkait rapat dengan pakatan keselamatan antara kedua-dua negara.
Selama bertahun-tahun lamanya, Korea Utara menjalankan program nuklear dan dipercayai memiliki bahan fisil yang mencukupi untuk membina senjata atom, walaupun ia belum menguji sebarang peluru berpandu yang dilengkapi dengan senjata demikian.
Encik Lee dicalonkan untuk menerajui Perkhidmatan Perisikan Negara Korea Selatan di bawah pentadbiran Presiden liberal baharu, Lee Jae Myung, yang mula bertugas pada 4 Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.