Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Calon guru ditangkap guna selipar Bluetooth tipu dalam peperiksaan

Ini bukan peranti dari filem 'Mat Bond': Selain di selipar mereka, 'receiver' Bluetooth pula dipasang langsung ke dalam telinga - modus operandi calon guru di India ini begitu canggih hingga pihak berkuasa pun terperanjat.

Anggaran Waktu Membaca:
Calon guru ditangkap guna selipar Bluetooth tipu dalam peperiksaan

Siasatan mendedahkan sekurang-kurangnya 25 pelajar membeli selipar itu pada harga 600,000 rupee setiap pasang daripada sebuah kumpulan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Sep 2021 10:26PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 10:31PM

NEW DELHI: Sepuluh orang ditangkap di India kerana merancang untuk menipu dalam ujian kelayakan yang begitu tinggi persaingannya bagi bakal guru.

Cara mereka? Menggunakan peranti Bluetooth yang disembunyikan di selipar mereka, menurut polis.

Meniru sudah lama menjadi masalah di India dan untuk ujian pemerintah yang diadakan pada Ahad (26 Sep), melibatkan 1.6 juta pelajar di wilayah Rajasthan, polis mendapat keizinan untuk menyekat akses internet semasa ujian berlangsung.

Namun satu kumpulan merancang untuk mencari huraian alternatif dengan peranti yang tersembunyi di bahagian telapak selipar mereka. Ia dapat menerima panggilan biasa yang akan dihantar tanpa wayar ke alat penerima (receiver) kecil yang tersembunyi di telinga mereka.

Kemudian, rakan-rakan di luar yang bersubahat dengan mereka akan menghubungi alat-alat tersembunyi itu dan membacakan jawapan yang betul untuk peperiksaan, kata Cik Priti Chandra, seorang pegawai polis di kota barat Bikaner.

Namun kumpulan calon guru itu ditangkap kerana bertindak mencurigakan di luar dewan peperiksaan pada waktu petang sebelum peperiksaan dan alat-alat di kasut mereka ditemui.

"Kami sedar tentang kemungkinan berlakunya penipuan, tetapi kami menyangka ia melibatkan kebocoran kertas soalan atau seseorang akan menggunakan internet dan itulah sebabnya ia dilarang di banyak bandar," jelas Cik Chandra kepada AFP.

"Namun ini adalah modus operandi yang benar-benar baru. (Mereka) semakin celik teknologi."

Siasatan menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 25 pelajar sudah membeli selipar tersebut daripada sebuah kumpulan dengan harga 600,000 rupee (S$11,000) setiap pasang.

Maklumat tersebut sempat dikongsi dengan beberapa daerah lain sebelum peperiksaan dan banyak pusat meminta para pelajar menanggalkan kasut mereka di luar dewan peperiksaan.

"Dalam satu kes, kami menangkap seorang pelajar selepas peperiksaan dan membawanya ke doktor untuk mengenal pasti dan mengeluarkan alat Bluetooth daripada telinganya," kata Cik Chandra.

Penipuan banyak berlaku dalam peperiksaan pemerintah, universiti, malah sekolah di India yang sangat tinggi persaingannya dan pihak berkuasa bergelut dengan kaedah yang semakin canggih yang disalahgunakan untuk membantu orang lulus.

Ini termasuk karyawan yang bekerja dengan menyamar sebagai orang lain dan menduduki peperiksaan bagi pihak mereka, kumpulan yang mencuri atau membeli kertas peperiksaan secara haram dan kemudian menjualnya.

Sumber : AFP/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan