Skip to main content

Dunia

Calon dos penggalak Clover Biopharmaceutical China, dapat tingkatkan antibodi lawan Omicron

Anggaran Waktu Membaca:
BEIJING: Syarikat Clover Biopharmaceutical dari China mengumumkan pada Isnin (27 Jun) bahawa dos penggalak vaksin COVID-19 keluaran syarikat itu boleh meningkatkan tindak balas antibodi dengan ketara terhadap varian koronavirus Omicron dari kadar yang dilihat selepas individu lengkap menerima dua dos utama, lapor Reuters.

Dos ketiga calon vaksin SCB-2019 syarikat itu menghasilkan peningkatan 19 kali ganda dalam meneutralkan paras antibodi terhadap subvarian Omicron BA.2 daripada paras sebelum menerima suntikan penggalak, menurut Clover dalam permohonan kepada bursa saham Hong Kong.

Dos penggalak itu juga menghasilkan peningkatan 12 kali ganda dalam meneutralkan paras antibodi terhadap subvarian Omicron BA.1, menurut syarikat tersebut, memetik analisis awal tanpa memberikan bacaan terperinci.

SCB-2019 yang disokong oleh Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI) belum lagi diluluskan untuk kegunaan komersil.

Bacaan antibodi berbeza daripada keberkesanan vaksin, iaitu kadar yang menunjukkan bagaimana ia boleh mengurangkan risiko jangkitan atau kematian akibat COVID-19.

Data daripada percubaan klinikal yang dijalankan sebelum penularan varian Omicron menunjukkan SCB-2019, 67 peratus lebih berkesan terhadap individu dengan gejala COVID-19 pelbagai tahap dan 79 peratus berkesan terhadap varian Delta.

Clover juga sedang membuat ujian calon berasingan, SCB-2020S dalam percubaan peringkat awal serta calon vaksin bivalent yang menyasarkan varian membimbangkan termasuk Omicron.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita