Skip to main content

Dunia

California isytihar darurat selesema burung

Anggaran Waktu Membaca:
California isytihar darurat selesema burung

Gambar hiasan. (Gambar: National Institute of Allergy and Infectious Diseases / AFP)

Diterbitkan : 19 Dec 2024 02:20PM Dikemas Kini : 19 Dec 2024 02:21PM
LOS ANGELES: Gabenor California Gavin Newsom pada Rabu (18 Dis) mengisytiharkan darurat berikutan wabak selesema burung H5N1 yang telah menjangkiti 34 orang di wilayah itu.

Menurut Pejabat Gabenor, perisytiharan itu dibuat selepas kes dalam lembu tenusu dikesan di ladang di California Selatan, "menunjukkan keperluan untuk memperluaskan lagi pemantauan dan mengukuhkan pendekatan yang diselaraskan di seluruh wilayah bagi membendung serta mengurangkan penularan virus."

Setakat ini, tiada penularan selesema burung dari manusia ke manusia dikesan di California dan hampir semua individu yang dijangkiti terdedah kepada lembu yang dijangkiti, menurut kenyataan media Pejabat Gabenor.

Pejabat itu menambah, California telah mewujudkan sistem ujian dan pemantauan terbesar di Amerika Syarikat bagi menangani wabak tersebut.

Setakat sehingga Rabu, virus H5N1 sudah merebak ke lembu tenusu di 16 wilayah selepas pertama kali disahkan di Texas dan Kansas pada Mac 2024, menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Terdapat sebanyak 61 kes manusia yang dijangkiti virus H5N1 di seluruh negara itu sejak April, dengan CDC pada Rabu (18 Dis) mengesahkan seorang pesakit di Louisiana dimasukkan ke hospital akibat kes "teruk" penyakit itu.

Selesema burung pertama kali dikesan di Amerika Syarikat pada burung liar di Carolina Selatan pada Januari 2022 dan di California pada Julai 2022.
Sumber : Bernama/AW/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita