Caj kesesakan tidak sesuai dilaksana di Johor Bahru buat masa ini
Kerajaan Negeri Johor berpandangan caj kesesakan tidak sesuai untuk dilaksanakan di bandar raya Johor Bahru buat masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh. (Gambar: Bernama)
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor berpandangan caj kesesakan tidak sesuai untuk dilaksanakan di bandar raya Johor Bahru buat masa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata ini kerana kerajaan negeri perlu terlebih dahulu mempunyai pelan induk yang lengkap bagi mengatasi kesesakan di bandar raya itu.
Beliau berkata ini termasuk memantapkan jaringan pengangkutan awam selain merancang inisiatif rebat kepada pengguna kereta yang beralih menggunakan bas sekiranya caj tersebut dilaksanakan.
"Buat masa sekarang (caj kesesakan) belum lagi sesuai (dilaksanakan di Johor Bahru) sebab kita belum ada 'master plan' yang lengkap untuk atasi isu-isu kesesakan.
"Bandar raya ini sebelum sempadan dibuka (susulan pandemik COVID-19) memang sudah sesak, kalau kita kenakan caj pun ia tidak akan selesaikan masalah kecuali kita ada pilihan (contohnya) sesiapa yang tidak membawa kereta dan naik bas akan dapat rebat," katanya pada sidang media selepas melawat projek menaik taraf jalan raya di Taman Kempas Utama semalam (27 Feb).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berhubung pelaksanaan caj kesesakan di Kuala Lumpur dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di daerah pusat perniagaan, hingga 20 peratus dan ia masih di peringkat kajian.
Dr Zaliha berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan caj kesesakan di bandar antarabangsa lain dan hasil kajian dilakukan kerajaan turut mendapati selain Kuala Lumpur, dua lagi bandar raya di Malaysia berpotensi untuk pelaksanaan caj kesesakan ialah Georgetown, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Dalam pada itu, Encik Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kajian tersebut namun berpandangan pelaksanaannya memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kita mengalu-alukan kajian tersebut namun untuk pelaksanaan perlukan kerjasama semua pihak daripada kerajaan negeri hingga PBT dan sebagainya.
"Sebab ia bukan hanya libatkan kesesakan semata-mata tetapi juga alam sekitar dan kos yang perlu ditanggung orang ramai kalau terpaksa tempah Grab dan sebagainya kalau kenderaan tidak boleh masuk ke kawasan bandar raya," katanya.
Awal dari itu, Encik Mohamad Fazli berkata projek naik taraf jalan raya daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya dijangka siap dua minggu lagi.
Beliau berkata projek sepanjang 2.2 kilometer yang telah siap 92 peratus dan melibatkan kos RM12 juta itu, diharap akan dapat melancarkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.