Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cacar Monyet: Warga M'sia di S'pura dinasihatkan berhati-hati, pemantauan sempadan dipertingkat

Anggaran Waktu Membaca:
Cacar Monyet: Warga M'sia di S'pura dinasihatkan berhati-hati, pemantauan sempadan dipertingkat

Gambar fail kesan cacar monyet di tangan. (Gambar: iStock)

BAGAN SERAI: Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dinasihatkan lebih berhati-hati berikutan negara itu melaporkan satu lagi kes import jangkitan cacar monyet pada Khamis (7 Jul), lapor BH Online. 

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dr Noor Azmi Ghazali berkata, memandangkan penyakit itu berada di negara jiran, pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat pemantauan lebih rapi di pintu masuk sempadan antarabangsa.

"Rakyat Malaysia yang bekerja atau yang bermastautin di sana dinasihatkan supaya lebih berhati-hati berikutan wabak ini mudah merebak melalui sentuhan dan cecair.

"Selain kekerapan membersihkan diri, kita juga menasihatkan agar segera merujuk kepada hospital atau klinik sekiranya terdapat gejala seperti demam, batuk, selesema dan sebagainya.

"Bagi yang bertujuan untuk mengunjungi negara yang mempunyai kes atau wabak ini, sebenarnya ia bukan masa sesuai dan jika boleh elak, kita elakkan dahulu," katanya selepas membuat tinjauan di Tapak Hospital Parit Buntar yang kini dalam fasa pembinaan.

Singapura mengesahkan satu lagi kes import jangkitan cacar monyet di Singapura. 

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, pesakit lelaki berusia 36 tahun itu adalah seorang warganegara India yang menetap di Singapura dan baru-baru ini pulang ke sini dari Amerika Syarikat (AS). 

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Azmi menegaskan KKM bimbang berlaku peningkatan kes COVID-19 menjelang musim perayaan Aidiladha ini memandangkan kes semasa dilihat kian meningkat.

Bagaimanapun tegasnya keadaan terkawal dan KKM telah membuat persediaan rapi dari pelbagai sudut termasuk hospital, ubat-ubatan disamping terus menasihati rakyat agar lebih berhati-hati.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan