Cabaran tangani dagangan hidupan liar di Sulawesi

Seorang pegerai menyiang seekor ular besar di sebuah pasar di pasar 'Tomohon Extreme Market' di kepulauan Sulawesi. (Gambar: Ronny Adolof Buol / AFP)
SULAWESI: Kepulauan Sulawesi di Indonesia adalah kawasan penting bagi pemerdagangan haiwan liar.
Daging haiwan liar amat popular di kalangan kumpulan etnik Minahasan kerana menjadi tradisi berdekad lamanya.
Bandar berbukit Tomohon ada banyak tempat pelancongan asli.
Namun, ia juga terkenal di dunia kerana tabiat memakan haiwan-haiwan liar.
Salah satu daripada tujuh pasar di situ, pasar Beriman Wilken - berurusan dengan haiwan-haiwan berkenaan.
Anjing, kucing, babi hutan, kelawar, ular sepanjang tiga meter dan banyak lagi disembelih, dibakar dan dijual sebagai makanan harian.
Ira Fitria Alita Kawuwong, dari kumpulan etnik Minahasan, membeli barangan dapur mingguannya di pasar tersebut.
Ira yang berusia 25 tahun membeli dua ekor kelawar pada harga hampir AS$10 (S$13.57).
Namun ia lebih murah berbanding sekilo daging lembu atau seekor ayam, yang kedua-duanya bermula dengan harga sekurang-kurangnya AS$7 (S$9.50).
Satu kajian baru-baru ini menunjukkan antara 2018 hingga 2019, lebih 300 tan kelawar dan 70 tan ular dijual di wilayah itu setiap tahun.
Akibat kegiatan pemburuan yang terlalu kerap, jumlah hidupan liar di situ semakin merosot dengan mendadak.
Rudi, bekas pemburu yang kini pembekal daging haiwan liar, sudah membekalkan daging haiwan liar kepada penjual di pasar selama 30 tahun.
Menurutnya, daging anjing adalah yang paling laris, dengan harga akan meningkat ketika musim perayaan.
"Kalau sekarang, satu kilogram anjing Rp40,000 (S$3.79). Jadi 13 kilogram, Rp 500,000 (S$47.33). Pada hari-hari perayaan, harga begitu pun, tetap orang cari," kata Rudi.
Selain itu, penduduk masih membeli dan makan beruk yang dikenali sebagai Yaki sehingga 2016.
Ini meskipun ia lebih payah bagi pembekal untuk mendapatkannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.