Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Cabaran besar ekonomi 2023 menanti kerajaan pimpinan PM Anwar Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Sekitaran ekonomi sejagat yang muram dijangka tidak akan memberi ruang selesa kepada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada 2023.

Dengan hampir semua unjuran meramalkan banyak negara mengalami kemelesetan ekonomi, Malaysia juga tidak akan terkecuali.

Ini sedang Malaysia kini berdepan dengan tekanan inflasi, nilai Ringgit yang lemah, kekurangan bakat berkemahiran tinggi serta daya penghasilan yang rendah.

RAKYAT MAHU KOS SARA HIDUP DIATASI SEGERA

Antara golongan yang terkesan dengan perkara tersebut adalah para penjaja kecil-kecilan seperti Cik Izzah Hashim menjual keropok lekor di sebuah gerai tepi jalan di Kuala Lumpur.

Harga minyak yang naik lebih seganda pada 2022 tidak membantu perniagaannya.

Walaupun kerajaan Malaysia sebelum ini membelanjakan hampir AS$1 bilion (S$1.34 bilion) untuk subsidi minyak masak, Cik Izzah berkongsi bahawa sukar untuk mendapatkan bahan asas berkenaan.

"Minyak masih belum dapat bekalan secekupnya sebab saya berniaga pun susah hendak dapat minyak. Kalau dapat pun sepaket dua untuk dua minggu macam itu selepas itu dah tidak ada," kongsinya kepada Mediacorp.

Ramai penjaja seperti Cik Izzah sukar untuk terus berniaga di tengah-tengah kos yang meningkat.

Mereka mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengatasi masalah inflasi terutama sekali harga makanan yang naik lebih 7 peratus tahun lalu.

Seorang lagi penjaja Encik Ramly Yusof memberitahu Mediacorp: "Kalau boleh turunkan. Apa manifesto yang beliau umumkan itu, minta kurangkan dan jadikannya realiti."

Jelas, harapan rakyat Malaysia terhadap kerajaan ke-15 amat tinggi dalam soal mengurangkan kos sara hidup.

CABARAN EKONOMI BESAR 2023 MENANTI PM ANWAR IBRAHIM

Pada minggu pertama menjadi PM, Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan berikrar untuk menghentikan monopoli dalam pasaran beras serta menghuraikan masalah para petani.

Beliau juga berjanji untuk mengurangkan pembaziran dan memperbaiki jurang dalam sistem supaya dapat mencegah amalan rasuah dalam sektor awam.

"Secara serius, apa-apa mekanisme subsidi anda mahu akan ada kekurangan. Kerajaan tahu tentang ini dan anda juga tahu minyak masak diseledup ke negara jiran kerana kami mempunyai sempadan yang lemah.

"Jadi perkara sebegini akan berlaku. Jadi mengapa membazir wang memberi subsidi kepada negara jiran secara tidak sengaja?" ujar Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Ameer Ali Mydin. 

Dengan kerajaan Malaysia yang lalu membelanjakan lebih AS$18 bilion (S$24.15 bilion) bagi subsidi pada 2022 atau sepertiga daripada pendapatannya, para pengamat ekonomi berkata langkah tersebut tidak boleh bertahan lama.

Ketua Pegawai Eksekutif badan pemikir IDEAS Malaysia Tricia Yeoh berkata kepada Mediacorp: "Kami sedang mengalami krisis kembar iaitu kekangan kewangan dan perlu mengurus kos sara hidup. Kerajaan perlu mengurangkan subsidi dan berubah kepada sistem subsidi bersasar.

"Mengagihkan semula sumber-sumber kepada isi rumah bawah 50 peratus. Ini membolehkan pengurusan diagihkan dengan lebih bijak berdasarkan keperluan."

Namun, menghentikan subsidi diberikan kepada rakyat juga satu cabaran besar di tengah-tengah kelembapan ekonomi.

Ini selain menggalak perusahaan kecil dan sederhana untuk tidak terlalu bergantung kepada subsidi demi meningkatkan daya saing masing-masing.

RAKYAT PERLU BERSABAR DALAM ISU INI: RAFIZI RAMLI

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menggesa rakyat Malaysia supaya bersabar kerana tiada jalan mudah dalam perihal itu dan Malaysia perlu bersedia untuk kemungkinan kemelesetan ekonomi sejagat pada 2023.

Dalam satu sidang media semasa hari pertama menjadi Menteri Ekonomi, Encik Rafizi berkata: "Jelas sebarang kejutan lanjut kepada ekonomi sejagat akan membawa kesan ke atas negara. Kami juga memikirkan harapan tinggi rakyat terhadap kerajaan ini untuk menyampaikan perkara-perkara yang mempunyai kesan segera terhadap mata pencarian mereka. 

"Jadi ia satu cabaran berbilang dimensi. Saya harap saya boleh diberi ruang dan masa untuk mencapainya dalam masa 100 hari."

Pakar-pakar ekonomi percaya ekonomi Malaysia perlu dirubah dan dikejutkan semula menerusi pendekatan lebih terbuka dan memandang ke hadapan.

Lantaran itu mereka merasakan dengan pemikiran reformasi, PM Anwarlah yang paling sesuai untuk memimpin Malaysia keluar daripada kemelut sekarang.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan