Skip to main content

Dunia

CAAM diarah siasat kelengahan bagasi di KLIA, kenakan hukuman jika perlu

Anggaran Waktu Membaca:
CAAM diarah siasat kelengahan bagasi di KLIA, kenakan hukuman jika perlu

Penumpang menunggu bagasi yang tertangguh di Terminal 1 KLIA selepas gangguan sistem pengendalian bagasi menyebabkan kelengahan selama beberapa jam pada 18 April 2026. (Gambar: Facebook/Kenc Low)

Diterbitkan : 19 Apr 2026 02:32PM Dikemas Kini : 19 Apr 2026 02:33PM
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diarah menjalankan siasatan berhubung kerosakan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Sabtu (18 Apr).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius kerosakan BHS di KLIA Terminal 1 pada petang Sabtu, kerana gangguan tersebut menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam bagi sejumlah besar penumpang yang tiba dan kesulitan yang dialami amat dikesali.

“Walaupun saya akur bahawa sistem BHS telah dipulihkan pada petang yang sama, pemulihan teknikal tidak bermakna perkara ini selesai. Penumpang yang melalui pintu masuk utama negara berhak mendapat tahap perkhidmatan yang boleh dipercayai dan insiden ini jelas gagal memenuhi kriteria ini.

“CAAM diarahkan untuk memulakan siasatan terhadap perkara ini dan meneliti sama ada tindakan berupa hukuman wajar dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) atas kegagalan dalam penyampaian perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (19 Apr).

Encik Loke berkata beliau mengarahkan Ketua Setiausaha MOT Jana Santhiran Muniayan supaya mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan pada pagi Isnin (20 Apr).

“Mesyuarat tersebut akan melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang mengawal pengurusan kerosakan di lapangan terbang kita, dengan tumpuan khusus kepada masa tindak balas, komunikasi dengan penumpang, dan protokol pelan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah pintu masuk utama negara, ia tidak boleh berdepan dengan kelemahan berulang seperti itu dan MAHB, sebagai pengendali KLIA akan dipertanggungjawabkan atas kerosakan tersebut.

Encik Loke berkata selain langkah pemulihan segera, insiden itu menunjukkan sesuatu yang perlu ditangani pada tahap yang lebih serius.

“Kita tidak boleh merealisasikan aspirasi kita untuk menjadi antara lapangan terbang terbaik dunia tanpa terlebih dahulu menyemai budaya kebertanggungjawaban yang sebenar dalam organisasi.

“Standard yang kita (sektor penerbangan) tetapkan untuk diri sendiri mesti dizahirkan melalui cara kita bertindak balas, cara kita mengakui kegagalan, dan cara kita memimpin sepanjang rantaian arahan.

“Jika kita serius dengan hasrat untuk menjadi lapangan terbang bertaraf dunia, kita juga mesti sama serius dalam memupuk budaya tanggungjawab yang setanding dengan aspirasi tersebut,” tegasnya.
 
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita