Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Butik Rakyat Rahmah di Melaka sediakan lebih 35,000 pakaian percuma buat golongan memerlukan

Anggaran Waktu Membaca:

MELAKA: Butik Rakyat Rahmah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang Besar di Melaka yang menawarkan pakaian secara percuma terus menjadi tumpuan ramai bagi persiapan menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Pengunjung Norizan Mustaffa, 48 tahun, dari Padang Temu berkata butik tersebut menjadi pilihan beliau dan anaknya untuk memilih pakaian kerana kekangan kewangan untuk membeli pakaian baru pada sambutan Syawal.

"Disebabkan pendapatan keluarga yang tidak menentu kerana suami yang telah berusia 62 tahun kini tidak dapat lagi bekerja, persiapan menyambut Hari Raya juga seperti tahun-tahun lepas disambut secara ala kadar dan kami juga tidak pernah membeli pakaian baru.

"Tetapi dengan adanya butik ini dapatlah kami memilih pakaian yang disukai selain terdapat banyak pilihan warna dan saiz selain keadaannya yang masih baik dan berkualiti, jadi kami tidak kisah janji ia masih kelihatan cantik untuk dipakai," katanya kepada Bernama.

Sementara itu suri rumah, Norimah Erelis, 40 tahun, dari Klebang berkata beliau datang ke butik tersebut bersama beberapa lagi ahli keluarganya yang lain untuk memilih pakaian yang disediakan di Butik Rakyat Rahmah itu.

Kata ibu tujuh anak itu, inisiatif seperti butik pakaian percuma itu dapat membantu golongan B40 dan kurang berkemampuan berjimat untuk membeli pakaian baru terutamanya yang memiliki tanggungan ramai.

"Baju-baju di sini banyak pilihan, ada kualitinya yang masih baru dan di sini kita dapat kurangkan belanja mana yang perlu kerana banyak perkara lain yang perlu diutamakan untuk berbelanja," katanya.

Normala Mohd Sidik, 46 tahun, dari Chenderah berkata beliau mendapat tahu tentang Butik Rakyat Rahmat melalui kiriman mesej aplikasi WhatsApp daripada kumpulan masyarakat tempat tinggalnya.

Katanya lagi, program tersebut diharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai yang memerlukan pakaian untuk berhari raya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar Mohd Yusoff Abu Hasan berkata terdapat lebih 35,000 pakaian ditawarkan menerusi program tersebut.

Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada pengunjung yang datang dari pelbagai tempat untuk memilih pakaian dan merasakan kemeriahan suasana seperti membeli-belah di bazar Aidilfitri.

"Lebih 3,000 pengunjung telah datang ke sini sejak ia dibuka pada awal Ramadan iaitu waktu operasi dibuka setiap hari bermula pukul 8.00 malam sehingga 12.00 tengah malam dan sambutan semakin ramai pada minggu akhir Ramadan.

"Di sini setiap pakaian diterima akan dipilih terlebih dahulu untuk memastikan keadaannya masih berkualiti untuk diberikan kepada orang ramai dan akan dihantar untuk dicuci sebelum menyusunnya di butik tersebut," katanya.

Encik Mohd Yusoff berkata program tersebut bermula sejak 2020 setiap kali perayaan Aidilfitri dan ia ditambah baik setiap tahun bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai walaupun pakaian itu diberikan secara percuma.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan