Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bunyi letupan di Sabah berpunca dari fenomena 'bola api' masuk ruang udara bumi

Bunyi letupan dan gegaran kuat yang berlaku di Sabah pada Ahad lalu (31 Jan), merupakan fenomena bola api memasuki ruang udara bumi.

Anggaran Waktu Membaca:
Bunyi letupan di Sabah berpunca dari fenomena 'bola api' masuk ruang udara bumi

Petikan video kejadian.

Diterbitkan : 03 Feb 2021 08:58PM Dikemas Kini : 03 Feb 2021 09:00PM

KUALA LUMPUR: Bunyi letupan dan gegaran kuat yang berlaku di Sabah pada Ahad lalu (31 Jan), merupakan fenomena bola api memasuki ruang udara bumi.

Perkara itu disahkan oleh International Meteor Organisation (IMO) dalam laporan yang dikeluarkan di laman sesawangnya baru-baru ini, dengan kod peristiwa 632-2021.

Timbalan Pengarah (Pencerapan) Planetarium Negara Zamri Shah Mastor berkata peristiwa tersebut dirakamkan pada pukul 11.04 pagi dan sebanyak lima laporan diterima berhubung bunyi letupan itu iaitu dua dari Sabah dan tiga dari Brunei.

Beliau berkata kedudukan bola api tersebut ketika berlaku letupan adalah di Papar, Sabah dan daerah Muara, Brunei berdekatan Laut China Selatan.

"Ia telah disahkan oleh IMO. Saya yakin video dari Sabah mengesahkan fenomena itu sebenarnya satu kejadian bola api. Ia seperti meteor tapi jauh lebih besar.

"Meteor berbentuk halus tetapi bola api lebih besar dan boleh dilihat pada waktu siang juga. Ia mencapai kecerahan bulan separuh atau bulan purnama," katanya kepada Bernama TV ketika dihubungi hari ini (3 Feb).

Menurutnya lagi, menerusi laporan yang diterima daripada IMO, sebanyak 57 kejadian seumpama itu telah direkodkan tahun ini dengan yang terbaru di Bali, Indonesia, pada Januari lalu.

"Ia merupakan batu dari angkasa lepas, bergesel melanggar atmosfera bumi, bila panas menyebabkan ia terbakar, ia sama ada meletup di udara atau jatuh ke permukaan. Pecahan-pecahan itu kami jangkakan ada yang telah memasuki ruang udara bumi dan ada yang hangus di galaksi," katanya.

Ditanya kebarangkalian kesan kerosakan yang boleh berlaku ekoran kejadian bola api, katanya, ia bergantung kepada saiz yang memasuki ruang udara bumi.

Sekiranya ia terlalu besar, ia akan menghasilkan fenomena ‘Sonic Boom’ atau letupan yang kuat seperti yang berlaku di Sabah, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata sehingga kini tiada sebarang kerosakan dilaporkan atau impak yang berlaku berikutan kejadian itu.

Pada Ahad lalu, penduduk sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Labuan digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran antara lima sehingga enam saat, kira-kira pukul 11.00 pagi pada hari berkenaan.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan