Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bumi semakin panas, glasier seluruh dunia diramal cair jelang 2050

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: Glasier di seluruh dunia termasuk di lokasi terakhir di Afrika dilaporkan akan cair dan dijangka lenyap menjelang 2050 akibat perubahan iklim.

Memetik laporan CNN, Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam laporanNYA memaklumkan glasier di sepertiga tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan cair dalam tempoh tiga dekad.

Pada masa yang sama, glasier terakhir di Gunung Kilimanjaro dilaporkan bakal lenyap, sama seperti glasier di pergunungan Alps dan Taman Negara Yosemite di Amerika Syarikat, walaupun dunia berusaha menyelamatkan bumi dari perubahan iklim yang semakin meruncing.

Difahamkan, laporan itu dikeluarkan melalui unjuran berdasarkan data satelit.

Kira-kira 18,600 glasier dikenal pasti di 50 tapak warisan dunia PBB, sekali gus mewakili hampir 10 peratus daripada kawasan glasier bumi termasuk di lokasi pelancongan terkenal dan tempat ibadat penduduk tempatan.

Tambah laporan itu, kehilangan glasier antara bukti paling dramatik bahawa bumi semakin bertambah panas.

“Kami berharap kami mungkin salah tetapi ini adalah sains yang kompleks," menurut pegawai projek UNESCO, Tales Carvalho Resende.

Manakala salah seorang penulis memaklumkan, "Glasier adalah salah satu petunjuk penting perubahan iklim kerana ia boleh dilihat. Ini adalah sesuatu yang benar-benar boleh berlaku dan dilihat."

Glasier yang terdapat di dua pertiga tapak Warisan Dunia PBB dijangka boleh diselamatkan tetapi hanya jika dunia menghadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Selsius.

Laporan itu turut menyatakan bahawa kehilangan ais di tapak Warisan Dunia mungkin menyebabkan paras laut dunia meningkat sehingga 4.5 peratus antara tahun 2000 dan 2020.

Glasier ini melepaskan kira-kira 58 bilion tan ais setiap tahun sama dengan gabungan jumlah isi padu tahunan air yang digunakan di Perancis dan Sepanyol.

Pakar glasiologi di Universiti Leeds, Profesor Duncan Quincey yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu memberitahu ramai penduduk bergantung kepada glasier sebagai sumber air untuk kegunaan domestik, pertanian dan kehilangannya boleh menyebabkan kekurangan air tawar semasa musim kemarau.

"Ia menyumbang kepada isu keselamatan makanan kerana mereka menggunakan air untuk menyiram tanaman," kata Quincey.

Menurut pengarang laporan, Carvalho Resende, penduduk tempatan dan orang asli akan menanggung kesan banjir yang disebabkan oleh isu ini sekali gus menggesa agar amaran awal dan pengurangan risiko dilaksanakan.

"Mesej paling jelas yang perlu kita lakukan ialah menghadkan pemanasan global. Terdapat mesej harapan di sini.

"Jika kita boleh berjaya mengurangkan pelepasan karbon secara drastik, kita akan dapat menyelamatkan kebanyakan glasier ini,” katanya sambil menambah tindakan segera di setiap peringkat termasuk politik dan tanggungjawab sebagai manusia diperlukan untuk menangani masalah tersebut.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan