Skip to main content

Dunia

Bulan Sabit Merah Palestin buka hospital pemulihan di Khan Younis

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) mengumumkan pada Selasa (2 Dis) pembukaan sebuah hospital pemulihan perubatan untuk individu yang cedera dan sakit bagi semua peringkat umur dan kategori ketidakupayaan di Khan Younis, selatan Carikan Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Anggaran Waktu Membaca:
Bulan Sabit Merah Palestin buka hospital pemulihan di Khan Younis
Hospital pemulihan yang dibangunkan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) di Khan Younis, selatan Carikan Gaza, dirasmikan pada 2 Disember dengan kehadiran delegasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diketuai Luca Bigozzi. (Gambar: Facebook/PRCS)
Diterbitkan : 03 Dec 2025 09:39AM Dikemas Kini : 03 Dec 2025 11:52AM
GAZA: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) mengumumkan pada Selasa (2 Dis) pembukaan sebuah hospital pemulihan perubatan untuk individu yang cedera dan sakit bagi semua peringkat umur dan kategori ketidakupayaan di Khan Younis, selatan Carikan Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Hospital itu mempunyai kapasiti 100 katil, yang boleh ditambah bagi menampung pertambahan kes yang memerlukan perkhidmatan pemulihan khusus.

Hospital itu dirasmikan pada Selasa (2 Dis) dengan kehadiran delegasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diketuai oleh Luca Bigozzi, yang menyatakan kesediaannya untuk memberi sokongan lanjut bagi meningkatkan perkhidmatan pemulihan di Carikan Gaza.

Pengarah Eksekutif PRCS di wilayah selatan Dr Haider Al-Qudra berkata pembukaan hospital itu adalah langkah penting memandangkan keperluan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan itu, terutamanya disebabkan bilangan kemudahan yang terhad dalam bidang tersebut di Carikan Gaza.

Dr Al-Qudra menegaskan penubuhan hospital itu diputuskan oleh Presiden PRCS Younis Al-Khatib, sebagai maklum balas terhadap keperluan mendesak bagi perkhidmatan seumpama itu dan kepentingan pemulihan sebagai sebahagian daripada misi Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin serta peranannya terhadap golongan orang kurang upaya.

PRCS menanggung sepenuhnya kos pembinaan hospital, manakala WHO menyumbang dengan menyediakan peralatan, perabot dan beberapa katil.

WHO dan ibu pejabat PRCS di Tebing Barat turut menyumbang dengan menyediakan peranti bantuan bagi para pesakit, yang akan memainkan peranan penting dalam menyokong mereka selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Ini akan meningkatkan keupayaan mereka untuk meneruskan proses pemulihan dan menambah baik kesiapsiagaan operasi hospital.

Hospital itu adalah satu penambahan penting kepada sistem penjagaan kesihatan di Carikan Gaza dan menjadi tonggak utama dalam menyediakan perkhidmatan pemulihan berteknologi tinggi di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang sukar di wilayah berkenaan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita