Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bulan kemerah-merahan sempena gerhana separa terpanjang sejak 1440

Gerhana separa bulan yang muncul dalam tempoh terpanjang dalam hampir 600 tahun, menjadikan bulan nampak kemerah-meraham dan ini disaksikan ramai penduduk dunia pada Jumaat (19 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Bulan kemerah-merahan sempena gerhana separa terpanjang sejak 1440

Gerhana bulan separa pada 19 Nov 2021 kelihatan dari Missouri, Amerika Syarikat (Gambar: AP Photo/Charlie Riedel)

Diterbitkan : 20 Nov 2021 09:30AM Dikemas Kini : 20 Nov 2021 09:35AM

LOS ANGELES: Gerhana separa bulan yang muncul dalam tempoh terpanjang dalam hampir 600 tahun, menjadikan bulan nampak kemerah-merahan dan ini disaksikan ramai penduduk dunia pada Jumaat (19 Nov).

Bulan diselindungi hampir sepenuhnya oleh bayang-bayang sedang ia bergerak di belakang Bumi, menjadikan 99 peratus permukaannya merah.

Fenomena itu dapat dilihat di seluruh Amerika Utara dan sebahagian Amerika Selatan mulai 0602 GMT Jumaat (2.02 petang, waktu Singapura). Menurut NASA, ia juga kelihatan di Polinesia, bahagian Australia dan timur laut Asia.

Menjelang 0750 GMT, dengan pemandangan langit bebas awan, para pemerhati di kawasan tersebut dapat melihat
separuh bulan dilitupi penumbra atau bayang di bahagian luar Bumi.

Para saintis angkasa lepas berkata bahawa menjelang 0845 GMT bulan kelihatan merah, dengan warna paling terang dapat dilihat pada kemuncak gerhana 18 minit kemudian.

Gerhana itu tidak kelihatan di Singapura, menurut Pusat Sains sebelum ini.

Warna merah dramatik disebabkan oleh fenomena yang dikenali sebagai taburan Rayleigh, di mana gelombang cahaya biru yang lebih pendek daripada matahari diserakkan oleh zarah di atmosfera Bumi.

Gelombang cahaya merah, yang lebih panjang, kemudian menembusi zarah-zarah ini dengan mudah.

"Lebih banyak habuk atau awan di atmosfera bumi semasa gerhana, bulan akan muncul lebih merah," jelas laman NASA.

"Seolah-olah semua matahari terbit dan terbenam di dunia dipancarkan ke bulan."

Dari saat gerhana bermula - ketika bulan dilindungi bayang-bayang Bumi - hingga ia berakhir, ia berlangsung lebih tiga jam dan 28 minit.

Itu adalah gerhana separa yang muncul dalam tempoh terpanjang sejak 1440 - sekitar masa Johannes Gutenberg mencipta mesin cetaknya - dan rekod itu tidak akan dipecahkan sehingga tahun 2669.

Namun pemerhati bulan tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan satu lagi keindahan - akan ada gerhana bulan penuh dalam tempoh lebih panjang pada 8 November tahun depan, kata NASA.

Berita yang lebih baik untuk sesiapa yang ingin menyaksikannya adalah, tiada peralatan khas diperlukan, tidak seperti gerhana matahari.

Teropong, teleskop atau mata kasar sahaja akan memberikan pemandangan yang cukup baik - asalkan cuaca baik pada waktu itu. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan