Bukti awal dapati Omicron menular lebih pantas, jejas keberkesanan vaksin COVID-19: WHO
Varian Omicron koronavirus lebih mudah berjangkit berbanding dengan varian Delta dan mengurangkan keberkesanan vaksin namun ia menyebabkan gejala kurang serius menurut data awal.
(Gambar: AFP)
GENEVA: Varian Omicron koronavirus lebih mudah berjangkit berbanding dengan varian Delta dan mengurangkan keberkesanan vaksin namun ia menyebabkan gejala kurang serius menurut data awal.
Demikian didedahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad (12 Dis).
Varian Delta yang pertama kali dikenal pasti di India pada awal tahun ini, bertanggungjawab bagi kebanyakan jangkitan koronavirus di seluruh dunia.
Namun penemuan Omicron oleh Afrika Selatan - yang mempunyai sejumlah besar mutasi - pada bulan lalu mendorong negara-negara seluruh dunia untuk mengenakan sekatan perjalanan terhadap negara-negara Afrika Selatan dan melaksanakan semula sekatan dalam negeri bagi membendung penularan virus.
WHO menyatakan Omicron sudah merebak ke 63 negara setakat 9 Disember. Penularan lebih pantas didapati berlaku di Afrika Selatan, di mana terdapat kurang kes varian Delta dan di Britain, di mana Delta merupakan varian utama.
Namun WHO menekankan bahawa kekurangan data bermakna ia tidak boleh mengesahkan sama ada kadar penularan Omicron adalah disebabkan ia kurang terdedah kepada tindak balas imun, kadar penularan lebih tinggi atau gabungan kedua-duanya.
Bukti awal mencadangkan bahawa Omicron menyebabkan "keberkesanan vaksin berkurangan terhadap jangkitan dan penularan", menurut WHO dalam satu taklimat teknikal.
"Berdasarkan data terkini yang sedia ada, terdapat kemungkinan Omicron akan mengatasi varian Delta, di mana jangkitan dalam masyarakat berlaku," ia menambah.
Jangkitan Omicron sejauh ini menyebabkan penyakit "ringan" atau kes-kes tidak bergejala, namun WHO menyatakan bahawa data itu tidak mencukupi untuk menentukan sejauh mana serius klinikal varian itu.
Afrika Selatan melaporkan varian Omicron kepada WHO pada 24 November. Syarikat-syarikat pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech pada minggu lalu menyatakan tiga dos vaksin mereka adalah berkesan untuk menawarkan perlindungan terhadap Omicron.
Negara-negara yang mempunyai bekalan vaksin mencukupi seperti Britain dan Perancis menggalakkan penduduk mereka supaya mendapatkan dos penggalak bagi melawan Omicron.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.