Bukan siakap tapi ikan ini paling mahal di M'sia
Tatkala satu negara kecoh harga ikan siakap di sebuah restoran di Langkawi, Kedah yang dikatakan ‘harga kayangan’ kerana mencecah lebih RM1,000 (S$S$325) untuk ikan seberat 7.48 kilogram, mungkin tidak ramai tahu di Sarawak, terdapat satu jenis ikan termahal di Malaysia.
Ikan Empurau yang juga dikenali sebagai raja ikan di Sarawak. (Gambar: BERNAMA)
KAPIT: Tatkala satu negara kecoh harga ikan siakap di sebuah restoran di Langkawi, Kedah yang dikatakan ‘harga kayangan’ kerana mencecah lebih RM1,000 (S$S$325) untuk ikan seberat 7.48 kilogram, mungkin tidak ramai tahu di Sarawak, terdapat satu jenis ikan termahal di Malaysia.
Empurau, yang juga dikenali sebagai raja ikan sungai Sarawak, mempunyai nilai komersil tinggi dan harganya boleh mencecah RM800 (S$260) hingga RM1,000 sekilogram!
Ikan eksotik itu mahal disebabkan ia hanya memakan buah-buahan yang tumbuh di tebing sungai seperti engkabang, iaitu makanan ruji (makanan utama) ikan empurau yang mampu memberikan rasa berlemak pada isi ikan dan mempunyai aroma harum tersendiri apabila dimasak.
Ikan Empurau. (Gambar: BERNAMA)
Ikan empurau liar, yang digelar emas Borneo, hidup dalam habitat sungai yang bersih, sejuk, jernih serta mengalir deras dengan dasar sungai berbatu menyebabkan ikan itu akan berhijrah jika habitatnya dicemari.
Seorang peniaga empurau, Encik Loh Hoe Hua berkata kebiasaannya beliau mendapat bekalan empurau dengan membeli ikan tersebut daripada mereka yang ‘bertuah’ dapat menangkapnya di sekitar sungai seperti Sungai Rajang, Sungai Baram dan Sungai Baleh.
Dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam penjualan ikan empurau dan spesies ikan sungai Sarawak seperti semah, baung, tapah dan tengadak, beliau berkata empurau sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha restoran serta orang kenamaan.
Mereka sanggup datang dari Kuching dan Kuala Lumpur untuk membeli ikan tersebut kerana ia sukar didapatkan, memandangkan kadar pembiakannya lambat membesar dan bermusim.
Kebiasaannya, Encik Loh berkata ikan empurau atau nama saintifiknya Tor tambroides dengan berat lebih tiga atau empat kilogram dijual pada harga lebih mahal kerana isinya lebih padat dan kenyal.
Ketika ini, terdapat syarikat yang sudah mula menternak dan menjalankan kajian berkaitan ikan empurau secara meluas menerusi bantuan Jabatan Pertanian Sarawak, selaras matlamat kerajaan negeri mengubah sektor pertanian, perikanan dan penternakan negeri ke arah lebih produktif dan moden.
Setakat ini, kerajaan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak, telah memperuntukkan RM265 juta (S$86 juta) bagi Dana Mudahcara Pertanian bagi membantu meningkatkan kemahiran ketiga-tiga sektor itu.
Nampaknya, mereka yang ingin berkunjung ke Sarawak nanti, jangan lupa membezakan ikan siakap dengan ikan empurau ya!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.