Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bukan lagi coklat, bawang kini pilihan oleh-oleh warga Filipina dari Dubai

Apabila dia pulang ke Filipina untuk berjumpa  keluarganya pada bulan lalu, Dina Gacula Odo tidak membawa pulang oleh-oleh yang lazimnya seperti coklat atau sabun wangi dari Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Anggaran Waktu Membaca:
Bukan lagi coklat, bawang kini pilihan oleh-oleh warga Filipina dari Dubai

Wanita membeli bawang di Manila. (Gambar: AFP)

MANILA: Apabila dia pulang ke Filipina untuk berjumpa  keluarganya pada bulan lalu, Dina Gacula Odo tidak membawa pulang oleh-oleh yang lazimnya seperti coklat atau sabun wangi dari Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebaliknya, beliau membawa pulang barang yang lebih berharga untuk keluarganya  iaitu bawang.

Pekerja pentadbiran di sebuah pasar raya di Dubai itu  merupakan antara golongan pekerja Filipina di UAE yang menyuntik kelainan kepada tradisi 'pasalubong' atau tradisi membawa pulang oleh-oleh dari luar negara.

Jika dahulu bagasi mereka berisi cenderamata setiap kali pulang ke negara asal mereka, kini beg-beg mereka sarat berisi bawang kerana harganya yang amat mahal di Filipina, sehingga AS$12 ($15) satu kilogram 

"Ia sangat mahal di sini ... ia kini bernilai seperti emas kerana harganya," kata Cik Odo kepada Arab News.

"Di Dubai, harga bawang hanya 3 dirham (S$1.08)  satu  kilogram."

Pihak berkuasa Filipina telah mengeluarkan amaran mengenai kekurangan  bekalan bawang di negara itu sejak Ogos 2022.

Bawang digunakan dalam kebanyakan masakan Filipina dan harganya telah melonjak lebih empat kali ganda sepanjang empat bulan lalu.

Pemerintah Filipina telah melancarkan siasatan terhadap kartel-kartel komoditi itu selepas para penggubal undang-undang memfailkan ketetapan menentang  perdagangan bawang secara haram.

Untuk segera menangani kekurangan bekalannya, Presiden Ferdinand Marcos Jr pada minggu ini meluluskan pembelian lebih 21,000 tan metrik bawang dari luar negara yang dijangka tiba di Filipina menjelang akhir Januari ini.

Pada masa ini harga sekilo bawang di Filipina tiga kali lebih tinggi berbanding harga daging.

Lantaran itu, warga Filipina di luar negara sedang berusaha untuk membantu meringankan beban keluarga mereka.

Seorang lagi warga Filipina yang bertugas di Dubai, April Manuel berkata bawang "sangat mudah dan berbaloi untuk dibawa pulang" dan beliau menasihati semua orang supaya membawanya apabila pulang ke Filipina.

"Bukan lagi coklat yang membuat keluarga saya gembira tetapi bawang!" selorohnya.

Sesetengah warga Filipina pula seperti Mitzi Panganiban yang bertugas sebagai penolong doktor gigi di Dubai selama 16 tahun, berasa kesal kerana tidak membeli lebih banyak bawang apabila beliau baru-baru ini menjemput ibu mertuanya ke rumah. Buat pertama kalinya juga beliau tidak memborong coklat sebagai cenderamata untuk dibawa pulang.

"Saya membelikannya bawang sebanyak 2 kilogram; ia sekitar 6 dirham (S$2.15)," katanya.

"Saya seharusnya menggenapkannya sehingga 4 kilogram."

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan