Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Budaya lantik ahli keluarga perlu dielak, kata Menteri Ekonomi M'sia Rafizi Ramli

Anggaran Waktu Membaca:
Budaya lantik ahli keluarga perlu dielak, kata Menteri Ekonomi M'sia Rafizi Ramli

(Gambar: Rafizi Ramli/Facebook)

KUALA LUMPUR: Budaya nepotisme dengan melantik ahli keluarga ke jawatan tertentu dalam kerajaan perlu dielak pada masa akan datang, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata beliau sedar akan pelbagai kritikan berhubung pelantikan Nurul Izzah selaku penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Mohammed Iqbal pula sebagai pegawai majlis khas kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

"Saya berpandangan beberapa perkara ini perlu dielakkan oleh mana-mana kerajaan pada masa akan datang. Bagaimanapun bagi kes Nurul Izzah dan Iqbal, pelantikan sudah pun dibuat," katanya seperti dipetik Harian Metro pada Sabtu (4 Feb). 

Kini, Encik Rafizi berkata pelantikan itu diharap dapat dibuktikan dengan membawa nilai tambah.

"Ia tidak melibatkan dana awam. Apa yang kita harapkan sekarang ialah mereka perlu buktikan mereka akan membawa nilai tambah. Saya yakin mereka ada peranan masing-masing," tambah Encik Rafizi. 

Awal dari itu, kerajaan pimpinan Encik Anwar dikritik hebat selepas Cik Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.

Ia disusuli isu pelantikan Encik Mohammed Iqbal, anak Encik Johari, sekali gus dilihat menebalkan lagi tanggapan nepotisme terhadap kerajaan.

Sementara itu, Encik Rafizi berkata pihak yang terbabit dalam membuat keputusan sedemikian wajar mengambil perhatian terhadap pandangan rakyat.

"Di peringkat PKR, kita harap kita melangkah ke hadapan dan cabaran itu ada pada Nurul Izzah dan Iqbal untuk membuktikan mereka ada nilai tambah dalam keadaan mereka tidak mengambil sebarang wang rakyat. Sudah pasti saya faham sentimen itu," Harian Metro memetik kata-katanya lanjut.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan