"Budaya lama" penjawat awam minta komisen sukar dibanteras, kata PM Anwar
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bercakap kepada penjawat awam di mesyuarat Jabatan Perdana Menteri pada 3 April 2023. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
"Budaya lama” oleh kerajaan terdahulu itu sukar dibanteras, kata Encik Anwar seperti dipetik agensi berita Free Malaysia Today.
“Kita tak boleh nafikan masih ada budaya…saya pun masih dengar orang minta komisen di pejabat saya, pejabat menteri, pejabat pegawai-pegawai.
“Ini kerana budaya lama itu mahu dibersihkan mengambil masa. Jadi saya minta kerjasama saudara-saudara, jika imej itu baik, dia mudah sekali (untuk dibersihkan),” katanya ketika berucap sempena perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, lapor agensi berita Free Malaysia Today.
Dalam perutusan Tahun Baru 2023 pada 31 Disember lalu, Encik Anwar menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan tindakan segelintir penjawat awam mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau dipetik sebagai berkata walaupun ada perubahan ke arah lebih bersih, masih ada sekelompok kecil kakitangan kerajaan yang cuba mengutip habuan dan “hadiah” besar.
Mengulas lawatan rasmi empat hari ke China yang berakhir Sabtu lalu (1 Apr), Encik Anwar berkata beberapa syarikat yang dahulunya memilih negara jiran sebagai hab serantau, kini bersetuju menjadikan Malaysia sebagai hab barunya.
Namun kata beliau, syarikat terbabit perlu mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berkelayakan dan permohonan pekerja asing hanya akan diluluskan jika terbukti mereka tidak mempunyai tenaga pekerja mencukupi.
“Dengan syarat syarikat berkenaan perlu membuktikan ada usaha mengambil anak-anak tempatan kerana ia merupakan pelaburan puluhan bilion seperti minyak dan gas, farmaseutikal selain Geely-Proton.”
Dalam pada itu, Encik Anwar mencadangkan semua jabatan, kementerian dan agensi kerajaan agar menganjurkan tazkirah ringkas pada waktu rehat tengah hari bagi menghayati serta mengamalkan ayat dalam al-Quran.
“…saya minta Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) selaraskan, kalau diperlukan penceramah supaya ada manfaat dan kefahaman.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.