Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Budak sedari 8 tahun sudah mula merokok di M'sia

 Mungkin fakta ini agak mengejutkan, namun ia benar-benar berlaku apabila kanak-kanak di Malaysia sedari usia lapan tahun sudah pandai menghisap rokok.

Anggaran Waktu Membaca:
Budak sedari 8 tahun sudah mula merokok di M'sia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 30 May 2020 11:12AM Dikemas Kini : 30 May 2020 11:15AM

GEORGE TOWN: Mungkin fakta ini agak mengejutkan, namun ia benar-benar berlaku apabila kanak-kanak di Malaysia sedari usia lapan tahun sudah pandai menghisap rokok.

Menurut Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V Subbarow, fakta tersebut merupakan hasil dapatan daripada tinjauan yang dijalankan oleh CAP berkenaan penggunaan rokok dalam kalangan belia.

Beliau berkata hasil tinjauan juga mendapati kanak-kanak seawal umur lima hingga tujuh tahun sudah mula terdedah dengan rokok apabila mereka disuruh untuk membeli rokok di kedai runcit oleh bapa mereka sendiri.

"Selain itu, akses untuk mendapatkan rokok ini pun mudah kerana ada peniaga kedai yang menjual sebatang rokok...tak perlu beli sekotak rokok pun. Jadi, dari sini kanak-kanak ini mula belajar dengan membeli sebatang rokok dan cuba menghisapnya," katanya kepada Bernama.

Justeru, sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia esok dengan tema 'Belia' beliau menyeru kerajaan agar lebih tegas dalam melindungi golongan belia termasuk kanak-kanak daripada terus dimanipulasi oleh industri tembakau dengan melarang penggunaan rokok dalam kalangan mereka.

Encik Subbarow berkata pihak Jabatan Belia dan Sukan juga harus agresif dalam memberikan penerangan dan pendedahan kepada golongan belia tentang impak besar dan risiko yang bakal diperoleh hasil daripada merokok.

"Kita lihat Jabatan Belia dan Sukan ini lebih menumpukan kepada aspek mencungkil bakat belia dalam bidang sukan seperti bola sepak, namun dari sudut penggunaan bahaya merokok ini amat kurang. Sepatutnya perkara ini perlu lebih diberi perhatian kerana ia mengancam nyawa apatah lagi golongan belia merupakan harapan negara," katanya sambil menambah bahawa penekanan kepada penguatkuasaan juga harus diberi keutamaan selain didikan ibu bapa yang bermula dari rumah.

Sementara itu, Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata terdapat kira-kira lima juta perokok di Malaysia dan 10 peratus daripada jumlah itu berusia bawah 19 tahun.

"Ketika CAP membuat tinjauan pada 2019, CAP terkejut mendapati kanak-kanak sekolah menghisap vape malah terlibat dalam menjual isian semula cecair bagi alat e-rokok. Pada hujung 2019, terdapat kira-kira 7,000 perasa e-rokok di pasaran. Kepelbagaian perasa yang tersedia itu adalah untuk memikat pembeli dan menjadikannya satu tabiat atau ketagihan pada nikotina," katanya.

Memetik laporan khas Philip Morris pada 1981, beliau berkata laporan itu menyebut majoriti perokok mula merokok ketika usia belasan tahun dan belia hari ini bakal menjadi pelanggan tetap rokok pada masa akan datang dengan mula membuat pilihan jenama pada usia remaja.

Sehubungan itu, Encik Mohideen berkata pihaknya mendesak kerajaan supaya memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau bagi menggantikan Peraturan Kawalan Produk Tembakau (CTPR) 1993 yang tertakluk di bawah Akta Makanan 1983.

Selain itu, katanya lagi, Kementerian Pendidikan juga boleh menimbangkan cadangan untuk menjadikan isu kawalan tembakau sebagai sebahagian daripada sukatan pendidikan. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan