Budak perempuan 4 tahun maut dalam kebakaran
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut manakala bapa dan adik lelakinya melecur akibat kebakaran di bilik tidur sebuah banglo dua tingkat di Seksyen 12, malam Ahad (17 Dis).
SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut manakala bapa dan adik lelakinya melecur akibat kebakaran di bilik tidur sebuah banglo dua tingkat di Seksyen 12, malam Ahad (17 Dis).
Mangsa, Daaniys Humayra Mohd Shafie meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Shah Alam sementara bapanya, Encik Mohd Shafie Mohd Salih melecur pada bahagian kepala, badan serta tangan manakala adik lelaki mangsa, Eiman Haider Mohd Shafie berusia setahun, melecur di bahagian tangan, kaki serta sebahagian kepala.
Ibu mangsa, Cik Yusmaliza Mohamad Yusoff, 31 tahun, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran kira-kira jam 9.17 malam semalam (16 Dis) sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit selepas itu.
“Ketika anggota kami tiba, bapa mangsa didapati sudah berjaya keluar dari tempat itu bersama kedua-dua anaknya dan semasa anggota EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) periksa mangsa (Daaniys Humayra) ketika itu masih ada nadi.
“Kesemua mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Shah Alam oleh EMRS namun kanak-kanak perempuan itu kemudian disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan. Mangsa turut mengalami kecederaan hampir serupa dengan adik lelakinya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini (17 Dis).
Menurut Encik Azmel, kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 9.30 malam dan ia hanya melibatkan bilik tidur belakang di tingkat atas banglo berkenaan yang mempunyai lapan buah bilik keseluruhannya.
Beliau berkata siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati hanya mangsa dan adiknya berada di bilik berkenaan dan ketika kebakaran itu berlaku kedua-duanya sedang tidur.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.