Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Budak lelaki 6 tahun diselamatkan dari runtuhan gempa selepas dua hari

Anggaran Waktu Membaca:
Budak lelaki 6 tahun diselamatkan  dari runtuhan gempa selepas dua hari

(Gambar: AFP, AFP/Bogor Administration)

Diterbitkan : 24 Nov 2022 04:48PM Dikemas Kini : 24 Nov 2022 04:48PM
CIANJUR: Seorang budak lelaki berusia enam tahun berjaya dikeluarkan dari runtuhan gempa bumi selepas terperangkap dua hari di bawah serpihan tanpa makanan atau minuman.

Budak itu, dikenali sebagai Azka selamat kerana tidak tertimpa tembok yang runtuh.

Rakaman video yang menunjukkan pekerja penyelamat menarik Azka dari runtuhan rumah yang musnah di daerah Cugenang, memberi secebis harapan, masih ada mangsa yang selamat.

"Apabila kami menyedari Azka masih hidup, semua orang menangis, termasuk saya,"kata sukarelawan tempatan, Jeksen Kolibu, kepada AFP.

"Ia sangat mengharukan, terasa seperti satu keajaiban."

Apabila ditemui penyelamat, Azka kelihatan tenang sambil menghirup minuman yang diberikan oleh penyelamat.

Rakaman video menunjukkan sukarelawan menarik Azka keluar dari lubang di celah serpihan rumahnya dengan mencapai kedua-dua belah tangannya, ketika seorang lagi pekerja penyelamat membantu untuk memegang tangan budak itu.

Ibunya meninggal dunia dalam gempa bumi pada Isnin itu dan mayatnya ditemui beberapa jam sebelum Azka diselamatkan, kata seorang relawan kepada AFP.

Azka ditemui bersebelahan neneknya yang turut meninggal dunia, kata Encik Kolibu.

Tambahnya ketika Azka ditemui, dia berada dalam ruang yang sempit, gelap, panas dan tidak ada lubang yang cukup untuk bernafas.

"Kami tidak sangka dia masih hidup selepas 48 jam, jika kami tahu kami akan berusaha lebih keras pada malam sebelumnya," ujar beliau.

"Selama bertahun-tahun sejak saya menjadi sukarelawan, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini.

"Azka tidak mengeluarkan suara, dia langsung tidak menangis meminta tolong atau merengek," kata Encik Kolibu lagi.

"Walaupun dia ditarik keluar dari runtuhan dia masih sedar dan tidak berkata apa-apa. Dia kelihatan sangat keliru," tambahnya.

Gegaran kuat yang melanda bandar Cianjur di Jawa Barat Isnin lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 271 orang.

Pencarian masih diteruskan untuk mereka yang belum ditemui, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.
Sumber : AFP/SU/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa